Skip to main
Logo Malaysiakini

Gelaran Premier bukan untuk bermegah - Abang Jo

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perubahan gelaran Ketua Menteri Sarawak kepada Premier bukan langkah untuk bermegah diri, kata Abang Johari Openg.

Ketua menteri itu berkata langkah tersebut dibuat bagi membezakan status Sarawak berbanding negeri lain dalam persekutuan.

“Saya hanya ingin mengatakan bahawa ia bukan mengagungkan diri sendiri dan juga sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Kerajaan negeri berpandangan bahawa gelaran ketua kerajaan (Sarawak) perlu berbeza daripada negeri-negeri lain dalam persekutuan.

“(Perubahan jawatan adalah untuk) menekankan bahawa Sarawak berbeza daripada negeri lain di Malaysia, bukan untuk saya tetapi untuk Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Tahun Perpaduan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Sarawak di Miri malam tadi.

Pada 15 Feb lalu Dewan Undangan Negeri Sarawak meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang mengandungi klausa untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier dengan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan menyokongnya.

Pindaan itu juga melibatkan pertukaran gelaran menteri muda menjadi timbalan menteri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah yang membentangkan rang undang-undang tersebut berkata pindaan gelaran jawatan berkenaan hanya akan berkuat kuasa selepas diwartakan.

- Bernama