Khairuddin ‘letak jawatan’ setiausaha Majlis Syura PAS
Anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.
Menurutnya peletakan jawatan itu dibuat ketika dia dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU) PAS yang diadakan secara hibrid pada malam semalam.
"Pada mesyuarat berkenaan, saya mengumumkan peletakan jawatan atau pemberhentian sebagai setiausaha MSU berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).
"Saya juga meletakkan jawatan atau pemberhentian sebagai ahli Majlis Syura Ulama PAS berdasarkan peruntukan Perlembagaan PAS Fasal 8(5)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebagai rekod sebelum ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang memaklumkan jawatan Khairuddin dalam Majlis Syura itu terbatal kerana jawatankuasa pusat PAS membatalkan pelantikannya sebagai anggota Majlis Syura.
Sementara itu Khairuddin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS yang memberinya peluang untuk berkhidmat sebagai ahli Majlis Syura Ulama sejak 2013 seterusnya sebagai setiausaha sejak 15 Disember 2020.
Dia juga menyampaikan penghargaannya kepada Mursyidul Am, Hashim Jasin dan semua ahli Majlis Syura ulama yang telah bertindak selaras dengan Perlembagaan PAS untuk mengelakkan sebarang krisis perlembagaan parti.
"Saya terus istiqamah menjalankan amanah sebagai ahli Parlimen PAS dan juga tugasan-tugasan lain dalam parti," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai