Naib presiden, aktivis antara calon terbaru Muda
PRN JOHOR | Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan tiga calonnya yang akan menjadi pertaruhan mereka di Johor.
Mereka ialah naib presiden yang juga peguam hak asasi manusia, Lim Wei Jiet, yang akan dicalonkan bagi kerusi Tenang, aktivis Afiqah Zulkifli untuk Bukit Kepong dan Mohd Azrul Rahani (Pengerusi Muda Johor) di Bukit Permai.
Pengumuman itu dibuat Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman sebentar tadi.
Sebelum ini Muda sudah menyatakan setiausaha agung mereka, Amira Aisya Abdul Aziz, untuk kerusi DUN Puteri Wangsa,
Dengan pengumuman terbaru itu, hanya ada dua lagi calon yang belum didedahkan kepada umum, masing-masing untuk kerusi Parti Raja dan Machap.
Dalam sidang media yang diadakan Labis Johor tengah hari tadi, Syed Saddiq berkata fokus utama Muda di PRN Johor ialah memenangkan pembangkang bagi menghentikan "politik domino".
"Kita mahukan parti-parti pembangkang menang serta membawa perubahan di peringkat negeri Johor untuk menghentikan politik domino."
"Kalau kita lihat satu persatu kerajaan negeri dibubarkan tidak ada kestabilan politik, politik kucar-kacir, rakyat diheret ke kancah politik," katanya.
Tak cabar kerusi dimenangi PKR
Untuk rekod, Muda ditubuhkan oleh Syed Saddiq yang merupakan bekas ketua Pemuda Bersatu dan mereka akan membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya di Johor tidak lama lagi.
Pengundi Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac. Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Feb.
Syed Saddiq berkata Muda akan mengumumkan dua lagi calon mereka dalam masa terdekat.
"Kami harap menang (atau) kalah, kalian dapat lakukan terbaik di PRN Johor," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Muar itu juga memberitahu Muda tidak akan meletakkan calon mereka di mana-mana kerusi yang dimenangi PKR pada PRU ke-14.
"Kalau lihat kerusi-kerusi yang ditandingi (Muda) adalah kerusi Umno ataupun Bersatu, kerana kami nak pastikan kita nak membawa perubahan jangka masa panjang.
"Bukan sekadar bertanding di pilihan raya negeri semata-mata," katanya ketika diminta mengulas kemungkinan percanggahan kerusi dengan PKR.
Sebelum ini, Muda memberi gambaran kemungkinan berlaku pertembungan antara calon parti itu dan PKR di kerusi yang ditandingi.
Muda telah mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR, namun pengumuman calon oleh PKR telah menamatkan rundingan rasmi bersama Muda.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai