Skip to main
Logo Malaysiakini

Tanding lawan PKR? Syed Saddiq terus berteka-teki

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman dilihat masih berteka-teki apabila ditanya sama ada partinya akan bertanding menentang PKR dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketika mengumumkan tiga lagi calon Muda hari ini, Syed Saddiq memberi jaminan untuk tidak bertanding di kerusi yang dimenangi PKR pada pilihan raya umum (PRU) 2018.

Bagaimanapun, dia tidak menyebut sama ada Muda akan bertanding di kerusi Bersatu yang telah diserahkan semula kepada PKR selepas keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Diasak berulang kali jika akan berlaku pertindihan semasa sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, Syed Saddiq menegaskan perkara itu akan diumumkan kemudian.

S: Adakah akan ada kejutan apabila Muda bertanding lebih daripada enam kerusi?

Syed Saddiq: Saya rasa dalam (isu) pencalonan lain akan diumumkan tempoh terdekat. Jumlah (keseluruhan) lebih baik umum apabila tiba masanya.

S: Adakah kerusi telah dimuktamadkan?

Syed Saddiq: Ia akan diumumkan dalam masa terdekat.

S: Lebih daripada enam atau kekal di enam?

Syed Saddiq: Kita fokus kepada empat, calon lain kita akan umumkan dalam masa terdekat.

PH, melalui Amanah dan DAP, telah memberi Muda enam kerusi untuk bertanding.

PKR tidak melepaskan sebarang kerusi selepas perbincangan dengan Muda gagal. Ini bermakna jika Muda bertanding lebih daripada enam kerusi, pasti akan berlaku pertembungan.

Syed Saddiq berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 19 Feb lalu mengumumkan kumpulan terakhir daripada semua 20 kerusi yang akan ditandinginya.

“Saya beri komitmen, sebagai presiden Muda, saya akan pastikan Muda tidak akan bertanding di kerusi yang dimenangi PKR.

“Kalau dilihat kerusi yang kita tandingi sama ada kerusi Umno atau Bersatu kerana kita mahu fokus kepada perubahan jangka panjang dan bukannya PRN sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada Muda akan bekerjasama dengan PKR, Syed Saddiq berkata pihaknya akan membantu jika boleh.

"Kita mahu pembangkang menang. Kita mahukan perubahan di Johor supaya domino politik di mana satu demi satu kerajaan negeri dibubarkan terhenti," katanya.

Sehingga kini, Muda telah mengumumkan calon Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai. Baki dua daripada enam itu ialah Machap dan Parit Raja.

Kerusi Bersatu yang telah diperuntukkan semula kepada PKR ialah Buloh Kasap, Gambir, Semarang, Larkin, Kempas dan Benut.

Muda telah menyatakan minat terhadap Larkin dan Gambir semasa rundingan dengan PKR yang hanya bersedia menawarkan kubu kuat Umno di Sri Medan, Semarang dan Benut.