PSM turunkan pengarah filem untuk Kota Iskandar
PRN JOHOR | Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan satu-satunya calon yang menjadi pertaruhan mereka dalam pilihan raya yang akan berlangsung bulan depan.
Parti itu menurunkan Arangkannal Rajoo, 46, yang juga seorang pengarah filem sebagai wakil mereka untuk mencabar calon lain yang bertanding di kerusi DUN Kota Iskandar.
Timbalan Presiden PSM S Arutchelvan membuat pengumuman itu sebentar tadi.
"Sebenarnya, PSM kali pertama bertanding di Johor. Agak sukar untuk menang.
"Jadi, Johor menjadi medan ujian kepada parti walaupun PSM telah lama bertapak dan berkhidmat kepada rakyat di Johor.
"PSM akan membawa substansi, politik berprinsip dan suara marhaen ke PRN Johor yang penuh sesak," katanya di majlis pengumuman di Pulai.
Terdahulu, semasa memperkenalkan calon itu - yang lebih dikenali sebagai Ara - Arutchelvan menjelaskan dia seorang pengarah pelbagai filem sosial yang pernah memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini Arangkannal sudah berkhidmat bersama PSM sejak lebih dua tahun lalu di DUN Kota Iskandar.
Sementara itu, mengulas mengenai PRN Johor Arutchelvan berkata apa yang membezakan parti lain dengan PSM ialah pemahaman masing-masing mengenai politik.
"Kesemua parti lain adalah parti elit yang menjanjikan pembangunan kepada golongan atasan sahaja, tetapi PSM parti berprinsip membawa agenda golongan marhaen.
"Apa yang kami nampak di Johor adalah pembangunan di negeri ini berteraskan Singapura.
"Semua pembangunan ini mengambil kira kepentingan Singapura. Ini yang menyebabkan harga barang naik dan kemudahan asas sangat mahal di Johor. Ini juga menyebabkan peluang pekerjaan tidak dapat menampung kehendak pasaran.
"Sekiranya, PSM menang kami akan bekerja keras untuk memastikan kepentingan golongan berpendapatan rendah," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai