Skip to main
Logo Malaysiakini

WAWANCARA | Buku terbaru Ariff imbas semula tugas speaker

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

WAWANCARA | Mohamad Ariff Md Yusof memiliki keupayaan untuk menampilkan dirinya sebagai seorang yang arif dan bersahaja, bertenaga, elegan, bersikap diplomasi dan berterus terang.

Sikap itu diterjemahkan dalam buku terbarunya (menurutnya bukan memoir) yang mengisahkan tempoh perkhidmatan dan penyingkirannya - sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Pagi itu merupakan pagi Jumaat ketika kami berbual melalui Zoom.

Ariff berpakaian kasual, berkemeja biru tua berlengan pendek. Penulis terkejut kerana tidak biasa melihatnya berpakaian sedemikian selain jubah speaker hitam yang sering dipakainya.

Sudah 19 bulan berlalu sejak dia disingkirkan sebagai speaker Dewan Rakyat. Apakah Ariff mendapat ilham daripada Tommy Thomas untuk menulis buku bertajuk Parliament, Unexpected itu?

Bekas peguam negara itu mengeluarkan memoir tahun lalu, yang menjadi buku terlaris dan menjadi subjek kepada saman fitnah di mahkamah.

Ariff tergelak kecil dan menjawab ‘tidak’. Dia mahu menjelaskan perkara sebenar mengenai apa yang berlaku dan menjelaskan beberapa keputusan yang diambilnya.

Memetik frasa daripada buku itu, ia bertujuan untuk menjelaskan mengenai parlimen demi kepentingan orang ramai.

Undi percaya

Dalam bukunya, Ariff menjelaskan mengapa dia menolak permintaan perdana menteri sementara, Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan sidang khas ketika kemuncak krisis ‘Langkah Sheraton’.

Akhirnya, Yang di-Pertuan Agong menitahkan bahawa Muhyiddin Yassin dari Bersatu mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan selepas menemu bual setiap ahli parlimen.

Hal yang sama berulang 18 bulan kemudian, apabila kerajaan Perikatan Nasional goyah. Kali ini, Agong memutuskan bahawa Ismail Sabri Yaakob dari Umno mendapat sokongan untuk menjadi perdana menteri.

Ariff dikritik oleh individu seperti Thomas kerana menolak usul Mahathir dan membolehkan jawatan perdana menteri diputuskan "di luar demokrasi berparlimen".

Ketika ditemu bual, Ariff tetap mempertahan keputusan dilakukannya pada penghujung Februari 2020 itu.

Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Ariff bersetuju bahawa majoriti seseorang mesti diuji di Dewan Rakyat tetapi hanya selepas keputusan dibuat Agong.

“Apabila istana membuat keputusan, sesiapa yang dianggap mempunyai majoriti mengikut keputusan istana kini harus menguji sokongan mereka di Dewan..

“Mesti ada undi percaya dalam Dewan. Ia perlu diuji di Dewan,” katanya.

Majoriti yang diperolehi Muhyiddin mahupun Ismail Sabri tidak diuji melalui undi percaya.

Peraturan Tetap 15(1) menyatakan bahawa urusan kerajaan lebih diutamakan daripada perkara lain, yang boleh digunakan untuk menenggelamkan usul percaya.

Bagi Ariff, kelompongan ini perlu ditutup.

“Reformasi Dewan mesti memasukkan pindaan kepada Peraturan Mesyuarat untuk memaksa panggilan undi percaya. Itu mesti diberi keutamaan daripada semua Peraturan Mesyuarat yang lain.

“Kita tidak boleh bergantung dengan peruntukan semasa. Ahli politik akan mempermainkannya dan kemudian mengecam speaker kerana menerima usul itu,” katanya, bercakap berdasarkan pengalaman peribadi.

"Peraturan kini mesti diubah - atau sebaliknya, anda tidak akan mencapai kestabilan," tambahnya.

[Baca wawancara penuh]