Skip to main
Logo Malaysiakini

OKU didakwa bunuh ibu tiri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gua Musang, Kelantan, hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu tirinya di sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, minggu lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Abdullah, 33, yang juga merupakan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) mental hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Rahana Abd Razak, 55.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, Gua Musang, kira-kira pukul 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Februari lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 April depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan leher putus dipercayai ditetak anak tirinya dengan menggunakan parang.


Mangsa berusia 55 tahun ditemukan di ruang tamu rumahnya dan dipercayai dibunuh pada 4.55 petang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek yang juga pesakit mental selain penagih dadah itu tampil ke balai polis menyerah diri selepas kejadian dan mengaku melakukan perbuatan tersebut.