Skip to main
Logo Malaysiakini

Syarikat elektronik global didakwa ambil langkah jejas kesatuan sekerja

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Sekerja Industri Elektronik (EIEUNR) telah memfailakn aduan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Pulau Pinang terhadap pengilang komponen elektrik global, Molex (M) Sdn Bhd ekoran klangkah menjejaskan kesatuan menjelang undi rahsia yang sepatutnya berlangsung hari ini (22 Feb).

Setiausaha Agung EIEUNR David Arulappen berkata, pengarah sumber manusia (HR) syarikat itu telah mengancam untuk mengurangkan faedah kepada pekerja, jika kesatuan menang dalam undi tersebut.

Menurut Arulappen, pengarah HR juga menjanjikan kenaikan gaji kepada pekerja jika kesatuan gagal dalam usahanya membuktikan kebanyakan pekerja kilang yang berpangkalan di Kawasan Perindustrian Perai itu adalah ahli kesatuan.

“Dia membuat janji seperti menaikkan elaun syif, pengangkutan dan makanan, yang sebenarnya menunjukkan dia tahu apa yang sangat kurang dalam soal kebajikan pekerja,” katanya.

Dia berkata, langkah kesatuan untuk melaksanakan undi rahsia telah ditangguh tetapi sebelum tarikh baru ditetapkan, JPP Pulau Pinang akan mengadakan pertemuan dengan majikan dan kesatuan untuk menyiasat aduan itu, pada 15 Mac ini.

Katanya, kesatuan telah menaungi pekerja di kilang sejak 2015 dan pertama kali melaksanakan undi rahsia setahun kemudian.

“Tiada yang hadir pada 2016 kerana pengarah HR yang sama telah membuat ugutan serupa kepada pekerja dan memfitnah kesatuan.

“Kali ini, kita failkan aduan rasmi terhadap syarikat di bawah Sekseyn 8(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dengan membangkitkan langkah menjejaskan kesatuan oleh syarikat dan pelanggaran hak kesatuan sekerja,” katanya lagi.

Sebab undi rahsia

Arulappen menjelaskan undi rahsia akan menentukan jika majoriti pekerja di kilang adalah anggota kesatuan.

“Jika kami menang, keputusan undi akan digunakan untuk menuntut syarikat mengiktiraf kesatuan sekerja.

“Apabila diiktiraf, EIEUNR akan dapat melakukan penawaran kolektif kepada pekerja,” katanya lagi.

Dia berkata, memorandum persefahaman yang ditandatangani untuk pelaksanaan undi rahsia itu turut menyenaraikan 577 pekerja yang layak mengundi, senarai peranan syarikat dalam persediaan untuk melaksanakannya serta garis panduan undi.

“Senarai kehadiran undi rahsia turut merangkumi 77 pekerja Nepal,” katanya lagi.

Ada bukti ugutan

Arulappen berkata, kesatuan turut menulis surat kepada lembaga pengarah Molex di ibu pejabatnya di Amerika Syarikat.

“Jika tiada balasan daripada mereka, kita akan hantar surat kedua sebelum pertemuan dengan JPP kerana kita ada bukti yang pengarah HR dan pengurus operasi syarikat mengancam pekerja dan memfitnah kesatuan dalam beberapa pertemuan dengan pekerja.

“Kita mahu mereka memohon maaf kerana memfitnah kesatuan mengancam pekerja,” katanya, sambil menambahkan transkrip komunikasi turut dihantar kepada lembaga pengarah.

Salinan surat turut dihantar ke badan pekerja tempatan dan antarabangsa, antaranya  Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pejabat Kesatuan UndistriAll Global Geneva dan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.

[Baca berita asal]