Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA: Bukan semua kes varian Omicron bergejala ringan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memberi peringatan terhadap apa yang disifatkan sebagai sifat ambil mudah di tengah gelombang penularan varian Omicron Covid-19, terutama bagi mereka yang belum menerima dos penggalak.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, walaupun kebanyakan kes Covid-19 pada masa ini adalah tidak bergejala atau bergejala ringan, masih ada pesakit yang bergejala teruk atau ‘long Covid’, walaupun lengkap divaksin.

Dia menggesa orang ramai yang belum menerima dos penggalak untuk mendapatkannya bagi menjamin perlindungan terbaik melawan wabak itu.

“Bagi yang belum divaksin, mereka tidak boleh terus menangguh kerana Omicron merebak lebih cepat dalam komuniti berbanding varian sebelum ini.

“Di saat kita beralih ke fasa endemik, orang ramai diingatkan yang kadar hospitalisasi dan kematian yang rendah sebahagian besarnya kerana kadar vaksinasi yang tinggi. Statistik juga telah menunjukkan kebaikan mendapat dos penggalak,” katanya dalam kenyataan.

Varian Omicron lebih mudah berjangkit berbanding varian terdahulu dan lebih mampu mengelakkan respons imun vaksin semasa, tetapi ia pada masa sama paling kurang kemungkinan untuk menyebabkan gejala kritikal mahupun kematian berbanding varian Delta.

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan hanya kira-kira tiga peratus kes aktif dirawat di hospital, sementara 0.1 peratus ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Kira-kira satu per tiga daripada jumlah pesakit yang dirawat di hospital setiap hari masih dalam Kategori 1 (tanpa gejala) dan Kategori 2 (bergejala, tanpa pneumonia) ketika dimasukkan ke hospital.

Pada Khamis lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mereka adalah pesakit yang ditempatkan di hospital sebagai langkah berjaga-jaga awal ekoran ketiadaan faktor risiko yang dikaitkan dengan kes kritikal, seperti kencing manis, faktor usia dan penyakit kronik.

Secara perbandingan, ketika kemuncak gelombang Delta tahun lalu, kira-kira 10 peratus kes aktif dimasukkan ke hospital setiap hari. Kadar itu mencecah 18 peratus ketika permulaan gelombang, di saat kadar vaksinasi masih rendah.

Sementara itu, penggunaan katil ICU pada masa ini sekitar dua peratus daripada kes aktif, termasuk mereka yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Pada masa sama, kadar kematian juga menurun daripada dua peratus pada Julai tahun lalu kepada 0.1 peratus.

Di sebalik peratus rendah kes yang membawa kepada keadaan kritikal atau kematian, jumlah kes yang meningkat begitu cepat tetap bermakna masih ramai yang perlu dirawat di hospital atau terkorban kerana wabak ini.

Setakat semalam, seramai 7,783 pesakit Covid-19 dirawat di hospital, dengan 108 orang di ICU dan 164 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh seminggu terakhir setakat semalam, sebanyak 241 kes kematian dilaporkan, termasuk 82 kes yang meninggal dunia sebelum menerima rawatan di hospital. 

[Baca berita asal]