Skip to main
Logo Malaysiakini

Pakar beri amaran kesan psikologi kepada anak-anak Loh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Dr Andrew Mohanraj menzahirkan kebimbangan terhadap kesan psikologi tiga anak kepada ibu tunggal Loh Siew Hong, selepas isu hak jagaan mereka menjadi tatapan masyarakat.

Katanya, dalam keadaan sedemikian, jalan terbaik adalah memastikan ikatan erat secara emosional dan fizikal anak dengan ibu dan/atau bapa, bagi memastikan perkembangan normal si anak.

"Kanak-kanak yang berpisah dengan ibu bapa mereka pada usia muda secara amnya akan mempunyai kesan psikologi yang berpanjangan, walaupun pada usia dewasa nanti.

“Sebagai kanak-kanak, mereka boleh mengalami kemunduran akibat putusnya ikatan emosi dan fizikal dengan ibu bapa atau salah satunya, mengakibatkan kebimbangan dan gejala kemurungan menjejaskan prestasi sekolah mereka.

“Perasaan bimbang yang memeritkan ini boleh membawa kepada gangguan hubungan peribadi dan sosial mereka di usia dewasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Loh berjaya mendapatkan semula tiga anaknya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpusnya terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seorang ustazah yang pernah menjaga kanak-kanak terbabit.

Tiga anak tersebut, sepasang kembar 14 tahun dan seorang lagi berusia 10 tahun, dikatakan diambil tanpa pengetahuan Loh pada 2019. Bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy - kini dipenjarakan atas pertuduhan berkaitan dadah - juga dikatakan mengislamkan kanak-kanak tersebut tanpa pengetahuan Loh.

Untuk rekod, Loh sudah mendapat hak penjagaan penuh anak-anaknya pada 31 Mac 2021, setelah sebelum itu mendapat perintah ex-parte interim bertarikh 20 Disember 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada Loh.

Loh dilaporkan memfailkan tindakan mahkamah berasingan bagi membatalkan tindakan tiga anaknya yang memeluk Islam.

Dia berkata, anak-anaknya diculik ketika dia sedang pulih daripada kecederaan yang dialami akibat keganasan rumah tangga.

Kata Andrew, kesan psikologi mangsa keganasan rumah tangga termasuklah menyalahkan diri sendiri atas situasi yang berlaku - sehingga menunjukkan kesedihan, kemarahan, kemurungan dan kebimbangan - bahkan menjadi faktor kuat bunuh diri.

“Memandangkan anak-anak yang menyaksikan dengan kerap konflik dan keganasan antara ibu bapa (walaupun mungkin tidak menjadi mangsa) menunjukkan masalah sikap dan boleh menjejaskan perkembangan kognitif dari segi kecacatan proses pemikiran.

“Mereka mungkin bertindak balas kepada situasi itu, seperti bergaduh di sekolah, ponteng atau terlibat dalam sikap yang berisiko. Menyaksikan keganasan secara berulang kali boleh menjadi jalan yang akan ditelusuri anak-anak itu menuju dewasa,” tegas Andrew.

[Baca berita penuh]