Skip to main
Logo Malaysiakini

Kalau Muhyiddin cakap benar, kenapa takut sumpah laknat? - Zahid

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menempelak Muhyiddin Yassin yang didakwanya takut untuk bersumpah laknat.

Ini selepas bekas perdana menteri itu mendakwa Zahid pernah datang meminta pertolongan berhubung perbicaraan kesnya di mahkamah.

Kata Zahid, sumpah laknat merupakan cara segera untuk dia mempertahankan diri daripada tuduhan berkenaan ketika pilihan raya negeri (PRN) Johor semakin dekat.

“Jika membawanya ke mahkamah pasti panjang prosesnya dan hanya terbukti sesudah PRN Johor telah lama berakhir.

“Kalau dia bercakap benar, kenapa takut untuk bersumpah laknat? Mungkin dia sebagai anak ulama sudah tahu akibatnya jika dia laksanakan sumpah laknat.

“Dan apakah tindakan saya cuba mempertahankan diri dengan menyeru kepada sumpah laknat memalukan? Mereka yang sepatutnya dianggap memalukan adalah yang sanggup membuat tuduhan fitnah yang bersifat zalim demi kepentingan politik.

“Hari ini pihak yang menuduh enggan menyahut seruan bersumpah laknat sebagai membuktikan keyakinan apa yang dikata,” katanya di Facebook.

Hantaran itu merupakan respons terhadap Muhyiddin yang menolak cabaran sumpah laknat Zahid berhubung tuduhan tersebut.

“Saya takkan sumpah pasal saya tak pernah bohong,” Muhyiddin dilaporkan berkata semalam.

Cabaran sumpah laknat itu dibuat selepas Muhyiddin - dalam satu ceramah - mendakwa selepas dia dilantik sebagai perdana menteri Zahid menemuinya dengan membawa ‘fail bertimbun’ untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya,” kata Muhyiddin.

Zahid kemudian menyatakan kesanggupan membuat sumpah laknat bagi menolak dakwaan itu, dan mencabar Muhyiddin turut bersumpah laknat untuk mempertahankan dakwaan dibuatnya.

Kata Zahid, dia mempertahankan diri apabila cuba dizalimi, dengan cara sumpah laknat.

“Saya berdiam diri pun orang kata, saya pertahankan diri pun orang kata. Jadi saya pilih untuk pertahankan diri dengan tidak berdiam diri,” katanya lagi.

Untuk rekod, Ahmad Zahid diarahkan mahkamah untuk membela diri dalam 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Ia melibatkan 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram ke atasnya.

Dia turut berdepan 40 pertuduhan rasuah melibatkan lebih RM43 juta untuk sistem visa luar negara.