Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Johor: Mahathir sahkan Pejuang tanding di 42 kerusi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kedudukan Pejuang sebagai parti Melayu menjadi salah satu faktor yang mendorong parti itu bertanding hanya 42 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad, berkata meskipun bertanding 42 kerusi, jumlah itu sudah memadai untuk membentuk kerajaan.

"Ada faktor tertentu yang diambil kira sebab Pejuang parti Melayu. Bukan (kawasan) dominasi Melayu agak sukar untuk kita.

"Kita tak nak tunjuk kita tamak, kita bertanding 42 kerusi pun cukup," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir sebelum itu melancarkan Aspirasi Johor yang merupakan tawaran parti itu buat pengundi pada PRN Johor.

Dalam pada itu, keputusan untuk menampilakan 42 calon turut mengambil kira faktor sokongan mengikut bangsa dan usia terhadap parti itu.

Jelas Dr Mahathir Pejuang tidak akan dapat meraih sokongan daripada penyokong setia Umno yang tetap menyokong "pemimpin kencing di hadapannya".

"Empat puluh dua calon ini mereka yang tak terlibat rasuah dan tak minat cari kejayaan melalui politik.

"Mereka hanya nak cari kemenangan kepada parti, ini kualiti yang kita cari. 

“Mereka ini tak semuanya terlibat dengan politik, ramai daripada mereka bukan ahli politik dikenali tapi nasionalis," katanya.