Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M jawab Najib: Saya boleh jaga kroni saya, tak perlu Najib jaga

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa dia tidak mempunyai kroni seperti yang didakwa oleh seteru politiknya, Najib Razak.

Kata Dr Mahathir, sebaliknya dia hanya memiliki beberapa individu yang berkebolehan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

"Saya tak payah Najib nak jaga kroni saya, saya boleh jaga kroni saya, (tapi) saya tak ada kroni saya hanya ada orang berkebolehan.

"Saya tak tolong orang yang tak ada kebolehan," katanya ketika mengulas kenyataan Najib bahawa dia ditekan oleh Dr Mahathir semasa menjadi perdana menteri kerana tidak menjaga kroninya.

Semalam, Najib menjawab surat kedua Dr Mahathir kepada pengundi Johor dengan mendakwa bahawa pengerusi parti Pejuang itu pernah beberapa kali menarik sokongan terhadapnya kerana tidak menjaga kroninya.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu sering memberi tekanan kepadanya untuk memberikan projek kepada kroninya ketika dia menjadi perdana menteri.

"Ada penyokong sebelah sana yang tidak percaya dan suruh saya beri bukti. Okay, maka saya ulangkan bukti bagi kali terakhir Mahathir tekan saya sebelum dia tarik sokongan dan mula berkomplot dan menyerang saya.

"Bagi menunjukkan dia marah, pada hari pertama Perhimpun Agung Umno (PAU) 2013, Dr Mahathir dengan mengejut mengumumkan meletak jawatan sebagai penasihat Petronas dengan alasan dia sudah terlalu tua.

"Pada 2 Disember 2013, Dr Mahathir lepaskan jawatan penasihat Petronas, tapi tak sampai tiga bulan kemudian, dia tiba-tiba dilantik sebagai pengerusi eksekutif Proton yang sudah diswastakan," kata Najib.

Mengulas lanjut Dr Mahathir mendakwa dia hanya memberi sokongan pada individu yang boleh memberi kemajuan kepada negara.

Bahkan katanya, anaknya sendiri pun dia tidak berikan sebarang projek ketika menjadi perdana menteri.

Dia turut meminta Najib mengemukakan bukti jika benar anaknya menjadi jutawan disebabkannya.

"Malangnya yang saya tolong tu banyak, yang gagal tak jadi kroni yang menang saja jadi kroni. Eh, bukan main banyak dapat bantuan kenapa tak dipanggil kroni.

"Ini cuma tuduhan palsu Najib, tapi ini bukanlah sesuatu yang asking daripada Najib dia memang cakap bohong, dia boleh curi duit lepas tu dia cakap curi duit pun tak apa," katanya.