Dr M: Jika ada kes libatkan Tommy Thomas, siasatlah
Jalankan siasatan jika benar bekas peguam negara Tommy Thomas telah menerima rasuah ketika mengendalikan kes membabitkan anak taikun Vincent Tan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Jelas bekas perdana menteri itu dia berpegang pada prinsip undang-undang dan tiada siapa boleh terlepas daripada hukuman jika melakukan kesalahan.
"Saya percaya kepada kedaulatan undang-undang, peraturan kata tak ada orang patut dikecualikan sama ada dia peguam negara, hakim besar, dia pemimpin anti rasuah semua sama saja.
"Dari segi undang-undang sama saja, jika ada, kes jalankan siasatan," katanya mengulas mengenai dakwaan yang dikaitkan terhadap Tommy di Putrajaya, hari ini.
Pada 19 Feb lalu, Tommy menafikan dakwaan dirinya menerima rasuah semasa mengendalikan kes jenayah melibatkan anak lelaki Vincent Tan.
Katanya, selepas tertuduh didakwa, peguam-peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar keputusan pertuduhan dipertimbangkan semula.
"Menerima representasi daripada peguam dan tertuduh, dan mengurangkan atau menggugurkan pertuduhan selepas itu adalah perkara biasa dalam AGC.
"Surat-surat ini telah dibawa ke perhatian saya, untuk saya membuat keputusan. Setelah mengkaji representasi dan kertas siasatan (IP), mengkaji peruntukan undang-undang yang berkaitan dan perbincangan dengan pegawai kes (semua timbalan pendakwa raya), saya ingat, saya telah mengurangkan pertuduhan," kata Tommy dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Dr Mahathir turut ditanya sama ada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pernah datang bertemunya ketika menjadi perdana menteri bagi meminta agar pertuduhan terhadapnya ditutup.
Dr Mahathir berkata Ahmad Zahid ada datang bertemunya dan berbuat baik denganya sebelum dia menjadi perdana menteri.
"Berkenaan Zahid datang ke rumah saya dia cuba nak baik dgn saya, pada masa itu ada kemungkinan saya jadi perdana menteri.
"Masalah, Zahid ada kemungkinan masuk penjara sebab perbuatan curang beliau.
"Sejak kembali berkuasa, dia cuba nak hapuskan kesnya, dia nak siasatan dihentikan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai