Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon PH dakwa wakil PN giat 'beli undi' di kawasan Bekok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Seorang calon Pakatan Harapan (PH) mendakwa ada pihak dari Perikatan Nasional (PN) sedang ghairah "membeli undi" daripada orang ramai.

M Kanan yang menjadi pertaruhan PH untyk kerusi DUN Bekok mendakwa kejadian berlaku pada satu majlis anjuran PN dan membabitkan Tan Lek Kang yang disebut-sebut akan dicalonkan untuk kerusi sama.

Semasa mengadakan program tersebut, dakwa Kanan, Tan menyampaikan wang tunai, kotak bantuan, mengedarkan makanan percuma dan menukar minyak hitam motosikal secara percuma di kawasan terbabit.

"Bakal calon PN (yang disebut-sebut), Tan Lek Kang sedang ghairah menyajikan petrol, minyak enjin dan makanan kepada orang awam secara berleluasa.

"Salah laku ini dihebahkan tanpa segan silu di sekitar DUN Bekok menggunakan papan iklan dan kain rentang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran daripada itu, Kanan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem demokrasi negara yang dikendalikan oleh agensi berkenaan.

Sementara itu, Tan ketika dihubungi berkata dia masih belum dicalonkan sebagai oleh PN dan akan membiarkan saja Kanan membuat dakwaan tersebut.

“Tak apalah, biar dia buat dakwaan, saya tak rasa saya ada buat salah apa-apa.

"Saya sudah tiga tahun di sini, kenapa masa perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19, sebelum ini (semasa saya menghulurkan bantuan) mereka tak buat dakwaan sebegitu?

"Sebelum penamaan calon saya buat semua aktiviti untuk tolong rakyat, tapi nanti lepas penamaan calon nanti baru saya tak boleh buat program, saya hanya boleh kempen. Jadi, apa kesalahan saya?" katanya.

Berlaku sejak 3 tahun lalu

Untuk rekod PN dan BN dijangka mengumumkan calon mereka untuk kerusi Bekok esok.

Tan berkata, program bantuan rakyatnya di kawasan Parlimen Labis itu telah dimulakan sejak tiga tahun lepas dan menjadi perkara biasa baginya sebelum ini.

Malah Tan meminta sesiapa yang mempertikaikannya agar menyelak hantaran yang dibuatnya di media sosial sejak tiga tahun lalu.

"Biarlah dia. Saya tidak mahu balas (dakwaan Kanan).

Yang saya tahu, saya menjalankan tugas dan ikhlas membantu rakyat. Walaupun saya bukan calon, saya tetap akan bantu rakyat," katanya.

Hari penamaan calon akan berlangsung pada Sabtu ini (26 Feb). Rakyat Johor akan turun mengundi pada 12 Mac.

DAP memenangi kerusi DUN Bekok dengan majoriti 2,457 undi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Kerusi separuh luar bandar itu merangkumi 51 peratus pengundi Cina, 29 peratus Melayu, 18 peratus India dan tiga peratus lain-lain. Ia adalah kerusi separa luar bandar dalam kawasan Parlimen Labis.

PH, BN dan PN akan bertanding di kerusi itu manakala Warisan juga sedang mengintai kemungkinan untuk bertanding.