Skip to main
Logo Malaysiakini

Saksi dakwa Rosmah pernah mengadu isu disiplin Rizal Mansor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas Pengarah Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) Siti Azizah Sheikh Abod hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dia pernah menerima aduan daripada Rosmah Mansor mengenai masalah disiplin Rizal Mansor.

Siti Azizah, 72, bagaimanapun berkata dia tidak pernah mengambil tindakan ke atas Rizal tetapi menasihatinya supaya menjaga disiplin bersesuaian dengan tugas sebagai pegawai media di pejabat perdana menteri ketika itu.

"Kita orang dewasa, jadi bila kita tidak berdisiplin saya nasihatkan dia (Rizal). Kita bekerja di pejabat pegawai tertinggi kerajaan dalam negara dan disiplin diri amat penting," katanya ketika disoal balas oleh timbalan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram pada prosiding membela diri Rosmah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Siti Azizah berkata Rizal sering bertindak tanpa merujuk kepada ketuanya iaitu setiausaha akhbar perdana menteri ketika itu, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, jarang berada di pejabat di Putrajaya dan tidak mahir menulis teks ucapan.

Saksi pembelaan kedua itu berkata selaku pegawai media, tugas Rizal ialah untuk mempertahankan Rosmah namun dia tidak boleh bekerja sendirian kerana kenyataan media berbaur politik mesti mendapat kelulusan daripada Tengku Sharifuddin supaya tidak bercanggah antara satu sama lain.

Menjawab soalan Sri Ram, Siti Azizah berkata Rizal dinaikkan pangkat beberapa kali meskipun mempunyai masalah disiplin susulan sistem kenaikan yang membolehkan dia naik secara automatik.

Sri Ram: Kontrak Rizal dilanjutkan sebanyak enam kali, dia juga dinaikkan pangkat sebanyak dua kali iaitu dari N48 kepada N52 dan turut dianugerah gelaran Datuk.

Siti Azizah: Saya tahu mengenai gelaran Datuk apabila membacanya di surat khabar.

Gopal Sri Ram

Sri Ram kemudian menyoal sama ada Rizal adalah “seorang pekerja yang tidak berguna" dan Siti Azizah berkata dia tidak bersetuju dengan klasifikasi itu.

"Saya tidak nafikan Rizal membuat kerjanya sebagai pegawai media serta mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak media sesuai dengan latar belakangnya sebagai bekas petugas di agensi media tempatan.

"Namun beliau tidak boleh menulis teks ucapan walaupun beberapa kali saya minta dia cuba menulisnya. Saya akui bukan semua orang boleh menulis teks ucapan.

"Adakala saya tulis sendiri atau bagi orang lain tulis," kata saksi terakhir pembelaan itu.

Rosmah pada mulanya dibicarakan bersama dengan Rizal yang berdepan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu berhubung projek terbabit.

Bagaimanapun pada 8 Jan 2020, mahkamah membebaskan Rizal selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya dan dia kemudian menjadi saksi pendakwaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 5 April untuk hujahan kedua-dua pihak selepas pembelaan menutup kesnya hari ini.

Pada 18 Feb lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui Rizal, sebagai ganjaran membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah luar bandar di Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

- Bernama