Najib 'tak faham' tuduhan lobi kerja anak di Goldman Sach - Adun
Penafian bekas perdana menteri Najib Razak bahawa anak-anaknya tidak pernah bekerja untuk bank pelaburan Goldman Sachs menunjukkan dia kurang faham mengenai dakwaan sedemikian, kata Adun Semambu Lee Chean Chung.
Dakwanya, tindakan Najib yang didakwa mengambil kesempatan daripada kedudukannya untuk melobi bagi pekerjaan tersebut merupakan satu penyalahgunaan kuasa.
“Walaupun anak-anak Najib akhirnya tidak mendapat pekerjaan di Goldman Sachs, telah dimaklumi bahawa (bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Selatan Tim Leissner) telah memperkenalkan anak bongsu Najib, (Nooryana Najwa Najib), kepada TPG Capital di Hong Kong.
“Mari kita jelaskan bahawa 1MDB adalah entiti awam yang gagal dan membazirkan berbilion-bilion dolar wang rakyat.
“Menggunakan urus niaga bon besar 1MDB, proses mengumpul dana itu sendiri boleh dipersoalkan, namun untuk mendapatkan bantuan pada pertemuan 2009 dengan bekas ketua Goldman Lloyd Blankfein bagi anak-anaknya sendiri adalah korup dari segi undang-undang dan moral,” kata bendahari agung PKR itu pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, Leissner memberi keterangan di mahkamah New York mengenai pertemuan antara dirinya, Blankfein dan Najib pada 2009.
Sebagai balasan untuk perniagaan 1MDB yang menguntungkan, pekerjaan akan dijamin untuk tiga anak Najib di bank pelaburan multinasional AS.
Walau bagaimanapun, jabatan perhubungan kerajaan bank itu tidak akan menyokong perkara ini kerana sensitiviti yang terlibat dalam pengambilan anak-anak kepada individu yang berkaitan dengan kerajaan, dan Leissner berkata dia akhirnya menggunakan hubungannya yang lain untuk mendapatkan pekerjaan untuk Nooryana di TPG.
Awal hari ini, Najib menjawab laporan media mengenai perbicaraan itu dengan berkata tidak ada seorangpun anaknya bekerja di Goldman Sachs.
"Itupun tawaran untuk bekerja, ya - bukan tawaran diberi projek-projek ataupun suapan wang,” tulis Najib di Facebooknya.
Bagaimanapun, Najib mengakui bahawa Leissner telah memperkenalkan Nooryana untuk mendapatkan "jawatan junior" di TPG dan dia bekerja selama setahun.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai