Nooryana: Leissner dapatkan kerja pelatih, saya cuma 'gadis PowerPoint'
Nooryana Najwa, anak kepada bekas perdana menteri Najib Razak, mengesahkan dia memang pernah cuba mendapatkan pekerjaan dengan Goldman Sachs.
Bagaimanapun, dia diberitahu bahawa ia boleh menjadi konflik kepentingan kerana Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.
Nooryana berkata dia pernah bertemu dengan dua bekas pekerja Goldman Sachs - Roger Ng dan Tim Leissner.
Sambil menyifatkan mereka sebagai profesional perbankan, katanya dia mengenali mereka sebagai sebahagian daripada usaha rangkaiannya untuk mendapatkan "pekerjaan yang kompetitif."
Dia berkata dia berminat dengan Goldman Sachs kerana dia mahukan peranan yang melibatkan kewangan dan dasar kerajaan kerana dia belajar politik antarabangsa dan dasar luar di universiti.
"Ya, saya ada bertanya jika Goldman Sachs mempunyai peranan antara disiplin sedemikian. Saya bersedia untuk ditemu bual untuk mereka.
"Dan ya, saya diberitahu bahawa Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia jadi ia boleh menjadi konflik kepentingan," tulisnya pada hantaran di Facebook hari ini.
Berikutan itu, Nooryana berkata Leissner (gambar, atas) "memperkenalkannya" kepada TPG - sebuah firma ekuiti persendirian. Syarikat itu, katanya, sesuai dengan latar belakangnya dalam bidang polisi.
"Saya pergi temu duga untuk jawatan penganalisis intern di pejabat TPG London.
"Ya, seorang pelatih. Ini bermakna anda berada di bahagian bawah rantai makanan. Selain skop kerja teras anda, anda juga bertanggungjawab untuk spadework (kerja persiapan).
"Anda ialah gadis PowerPoint, gadis fotostat, gadis kopi dan gadis penghantar hanya untuk menamakan beberapa (tugasan)," katanya.
Dia berkata dia bekerja 11 bulan sebagai pelatih sebelum dinaikkan pangkat sebagai penganalisis sepenuh masa dan dipindahkan ke TPG Hong Kong.
Dia meletak jawatan selepas 18 bulan untuk fokus pada perniagaannya sendiri dan melanjutkan pelajaran.
Pada 22 Feb, Leissner memberitahu Mahkamah Daerah Timur New York bahawa dia dimaklumkan oleh Jho Low bahawa Najib mahu tiga anaknya diberikan pekerjaan di Goldman Sachs.
Leissner berkata dia menyokong idea berkenaan kerana Najib sebagai perdana menteri ketika itu, "berpotensi menjadi orang penting untuk (Goldman Sachs)".
Dia berkata perniagaan Malaysia untuk Goldman Sachs adalah "salah satu yang terbaik" di "seluruh Asia".
"Jadi saya merasakan anak-anak perdana menteri bekerja untuk kami berpotensi akan dilihat bukan sahaja oleh perdana menteri sebagai seorang yang positif tetapi juga semua pelanggan kami yang lain di negara ini akan mengambil perhatian tentang itu dan melihat bahawa kami berhubung dengan baik," katanya kepada mahkamah.
Secara khusus, Leissner berkata dia menerima CV (kurikulum vitae) Nooryana dan kemudian membantunya mendapatkan pekerjaan dengan TPG.
Awal hari ini, Najib menjelaskan bahawa tidak ada seorang pun anaknya ditawarkan pekerjaan oleh Goldman Sachs.
Leissner ialah saksi utama dalam perbicaraan terhadap pegawai bawahannya Roger Ng, yang dituduh melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah berhubung urus niaga 1MDB.
Goldman Sachs telah mengatur pinjaman AS$6.5 bilion untuk 1MDB - sebuah syarikat yang ditubuhkan atas bantuan Najib sebagai menteri kewangan dan mempunyai kuasa untuk memutuskan perkara pelaburan dan pengambilan pengarahnya.
Menurut penyiasat, kebanyakan wang yang dikumpul oleh 1MDB telah diselewengkan.
Susulan kejatuhan pentadbiran Najib, Goldman Sachs telah mencapai penyelesaian berbilion dolar dengan kerajaan Malaysia.
[Baca berita asal]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai