Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perang citra AS-Rusia: Antara unipolar dan multipolar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kebimbangan Amerika Syarikat (AS) berhubung masa Rusia akan menyerang Ukarine atau letusan daripada dalam Ukraine di sekitar Republik Rakyat Donetsk - wilayah autonomi yang diisytihar merdeka oleh Presiden Rusia Vladimir Putin - berkisar di sekitar visual atau citra AS yang mewajahkan Rusia sebagai negara merbahaya.

Laporan media Barat yang benar-benar ingin merealitikan penaklukan Rusia terhadap Ukraine memperlihatkan seolah-olah perang dingin dihidupkan semula.

Pencitraan atau pewajahan yang ingin dipaparkan AS melalui media dalam ruang siber dapat diertikan sebagai penciptaan kekaburan terhadap realiti, suatu keterputusan daripada suara demokrasi dan hegemoni AS dalam dunia antarabangsa.

AS tidak mahukan citra dunia dengan pandangan multipolar tentang realiti antarabangsa, yang mengkonstruksi konsep-konsep kepelbagaian dalam hubungan antarabanga atau yang dikonsepkan sebagai dialog tamadun kepelbagaian.

AS akan tetap berkeras dengan pencitraan tungal ingin menggelamkan realiti citraan Rusia dan sebagai kuasa pengimbang dalam dunia pencitraan multi polar dan tidak ingin dunia mendengar alasan dan rasional kenapa Rusia meletakkan tenteranya di sempadan.

Pewajahan Rusia bahawa AS dan Nato mengancam negara-negara sempadan tidak dibicarakan secara seimbang. Pencitraaan Rusia bahawa AS musuh keamanan sebenar, yang sengaja mencetuskan kegawatan itu tidak diangkat sebagai wacana seimbang.

Apa yang ditekankan melalui penwajahan media AS ialah Rusia akan menakluki Ukraine dan 100,000 lebih tenteranya berkumpul di sempadan Ukraine. Penwajahan ini dipaparkan secara visual melalui satelit, gambar dan siaran televisyen.

Washington melalui perang citra ingin menenggelamkan citra Rusia dan kewajaran Moscow kerana yang penting dan diutamakan ialah kewajaran Amerika. Seolah-olah sukar untuk mencari sumber Rusia. 

Kewartawan Barat ala Amerika ingin menuju ke arah situasi perang, pencitraan perang, pertentangan terbuka kemungkinan sehingga ke perang nuklear. Bagaimanapun seluruh episod krisis ini adalah perancangan AS dalam percaturan geopolitik, pewajahan dakwaan-dakwaan terhadap Rusia mengenai rancangan menakluki Ukraine disertakan asak-asakan propaganda dalam realiti hiper siber yang agak keterlaluan. 

Kebuntuan yang sengaja direka melalui pewajahan ini memperlihatkan manifestasi AS yang masih tebal dengan  pemikiran Perang Dingin. AS terkunci dalam mentaliti ‘war-economy’. Politik perang dingin mengkehendaki adanya konflik dan perang dalam perhubungan antarabangsa. Oleh itu pewajahan ini memerlukan dalam krisis atau konflik di Ukraine antara AS dan Rusia.

Walaupun Perang Dingin sudah berakhir hampir 30 tahun dahulu dengan berkecainya empayar Kesatuan Soviet, namun pencitraan permusuhan dengan Kesatuan Soviet tidak pernah padam walaupun telah bertukar nama kepada Republik Persekutuan Rusia.  Perang citra ini  ialah mengenai hegemoni AS/Barat, mentaliti Perang Dingin masih terpendam dalam pemikiran oligarki elit Rumah Putih.  

Sistem kapitalisme Barat

Tiada  realiti atau pewajahan yang dibenarkan hidup atau bernafas bersama, menandingi atau mencabar sistem kapitalisme Barat. 

Namun pengumuman Moscow baru-baru ini bahawa kebanyakan anggota tenteranya telah kembali ke kem masing-masing sebagai dijadualkan, selepas tamatnya latihan ketenteraan, tentunya akan menamatkan kempen propaganda fobia Rusia (teringat Islamophobia) yang dikumandangkan. 

Media Barat mendendangkan Ukraine akan ditawan Rusia pada bila-bila masa.

Jika Rusia bertindak bodoh termakan dengan pencitraan AS dan menakluki Ukraine, ini  bermakna Putin terjebak dan termakan hasutan dan propaganda AS melalui pewajahan yang sedang dilakukan.

Vladimir Putin

Sebagaimana AS berjaya menumpaskan Kesatuan Soviet pada 1990-an sehingga empayarnya terbarai, menjadikan “The End of History” - buku klasik tulisan Francis Fukuyama - kemenangan kaptalisme menentang Sosialisme, AS yakin perkara sama akan berlaku ke atas Rusia.

Maka bersandarkan kepada mentali Perang Dingin, AS tidak akan berputus asa dan mungkin menggunakan pelan keduanya  dengan pewajahan melampau yang tidak masuk akal mengenai kebimbangan Rusia menyerang Ukraine.

Jika diteliti pencitraan bahawa krisis di Ukraine - isu saluran gas Nord Stream 2 dalam hubungan Jerman dengan Rusia - ia  hanyalah riak air di permukaan. 

Isu hakikin yang cuba dihakikikan melalui pencitraan ialah  ialah gelombang Rusia dan China, gelombang perubahan dan penguasaan geopolitik, pemetaan baharu Eropah dan Asia yang mencabar AS dan Nato.

Gelombang yang dibawa Rusia dan China berbentuk ideologi dan hegemoni mencabar hegemoni AS di Eropah dan Asia khususnya. Dunia unipolar yang dikuasai AS akan pudar dengan pembentukan kuasa multipolar atau pelbagai khutub. 

Kedudukan geopolitik yang mencabar ini membuatkan Presiden Joe Biden merasakan citra Rusia perlu dikembirikan daripada memainkan peranan di rantau Eropah. Mentaliti Perang Dingin ini mengkehendaki AS masih terus menguasai Eropah dan masalah di Ukraine memperlihatkan kegusaran Washington akan pengaruh Rusia.

Begitu juga dengan keresahan AS terhadap perjanjan bekalan saluran gas Jerman dengan Rusia yang membawa kepada hubungan akrab  kedua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan dan akan memudarkan pengaruh AS ke atas Jerman. 

Rakyat Jerman mahukan bekalan gas murah dan canselor baharu Jerman Olaf Scholz harus mendengar suara rakyat daripada tunduk kepada tekanan Biden. Perang citra menggunakan krisis di Ukraine ini bertujuan supaya Jerman tidak menandatangani perjanjian bekalan gas dengan Rusia.

Gagasan pencitraan Eurasia Raya 

AS sedang berperang citra dengan pewajahan perikatan Rusia dan China dan gabungan hasrat kedua-dua negara dalam mewujudkan gagasan pencitraan Eurasia Raya akan menjejaskan hegemoni dan pencitraan AS.

Sudah sampaj masanya AS menyingkirkan realiti dan pewajahan tungal, hidup dalam kompleks ketenteraan industri (industrial military complex) dan bernafas dalam ekonomi perang. 

Wilayah Eurasia, gambar Keepscases

Dunia telah letih dengan tingkah laku AS yang mengakibatkan seluruh dunia porak peranda dan sengsara  - pengwajahan Perang Dingin selepas Perang Dunia Kedua misalnya perang Korea, Perang di Vietnam, krisis Timur Tengah isu Palestin, campur tangan di Ameriak Selatan, perang menentang keganasan, menakluki Iraq, Libya dan Afghanistan. 

Di manakah Malaysia dalam perang pewajahan kuasa-kuasa besar ini?  Daripada segi kedudukan kita berada di titik panas antara Selat Melaka dan Laut China Selatan. Dapatkah kita mengekalkan pencitraan kita dengan dasar luar berkecuali yang tidak menyokong mana-mana kuasa besar?

Mahukah kita berada dalam situasi pewajahan Perang Dingin 2?


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pensyarah perhubungan antarabangsa di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.