Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno batalkan hasrat mahu tanding 42 kerusi di Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno membatalkan hasrat untuk bertanding sebanyak 42 kerusi di Johor, dan membenarkan sekutunya dalam BN - MCA dan MIC - masing-masing mengekalkan jumlah kerusi yang sama yang mereka tandingi pada pilihan raya umum 2018.

Bagaimanapun, Umno akan bertanding di dua kerusi tambahan berbanding pada pilihan raya umum lalu setelah menyerap kuota dua kerusi Gerakan memandangkan parti itu bukan lagi sebahagian daripada BN.

Justeru, Umno akan bertanding sebanyak 37 kerusi manakala MCA dan MIC masing-masing mengekalkan 15 dan empat kerusi.

Perkembangan itu menyaksikan rancangan Umno untuk meletakkan calon daripada parti sekutu bukan BN seperti Parti Malaysia Makkal Sakti, Parti Bersatu India Malaysia dan Kongres India Muslim Malaysia tidak menjadi kenyataan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC M Saravanan, semasa rundingan kerusi memberi amaran supaya partinya tidak menjadi “mangsa” sekadar memuaskan hati sekutu BN itu.

Pengerusi Perhubungan Umno Johor Hasni Mohammad, dalam ucapannya, bersusah payah menjelaskan bahawa senarai calon itu tidak akan menggembirakan semua pihak tetapi menggesa mereka untuk merapatkan saf barisan.

“Ibarat kata pepatah, saya tidak boleh buat telur dadar tanpa pecah telur,” katanya ketika pengumuman calon di Johor Bahru pagi tadi.

Hasni menyifatkan proses rundingan sebagai sukar dan menyatakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berada di Johor untuk mencari jalan penyelesaian dari 10 pagi semalam hingga 3 pagi hari ini.

Walaupun kuota kerusi sebahagian besarnya kekal tidak berubah, terdapat beberapa pertukaran kerusi antara parti komponen.

MIC menyerahkan kerusi Gambir kepada Umno sebagai pertukaran untuk Kemelah.

Umno pula mengambil Pemanis yang sebelum ini ditandingi Gerakan.

Bagi MCA pula, ia menyerahkan kerusi Parit Yaani dan Pulai Sebatang kepada Umno. Sebagai pertukaran, Umno memberi kepada MCA kerusi Puteri Wangsa.

MIC juga menyerahkan Skudai kepada MCA tetapi diberi kerusi Bukit Batu yang sebelum ini ditandingi oleh Gerakan.

Terdapat juga beberapa personaliti menarik yang akan bertanding dalam pilihan raya Johor, termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi, penyokong tegar bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib, yang adalah pengerusi lembaga penasihat BN, hadir di atas pentas semasa pengumuman calon.

Mohd Puad akan bertanding di Rengit. Rengit ialah kerusi DUN dalam kawasan parlimen Batu Pahat, yang Puad pernah menjadi ahli Parlimen dari 2008 sehingga kekalahannya pada 2013.

Satu lagi perkembangan ketara ialah Onn Hafiz Ghazi, cicit Onn Jaafar, yang akan dipindahkan dari Layang-Layang ke Machap.

PKR bersedia untuk meletakkan Maszlee Malik, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, di Layang-Layang. Maszlee telah disebut-sebut sebagai calon MB sekirangnya pembangkang memenangi PRN Johor.

Onn Hafiz menang Layang-layang dengan majoriti tipis sebanyak 364 undi pada pilihan raya umum lalu. BN juga memenangi Machap dengan majoriti kecil 404 undi pada 2018.

Maszlee kini dijadualkan berdepan dengan Mutalib Rahim yang mewakili Umno / BN di Layang-Layng.

Ismail Mohamed, yang pada pilihan raya umum lalu berada dalam kedudukan janggal selepas bosnya Muhyiddin Yassin dipecat daripada Umno, sekali lagi akan bertanding di Bukit Kepong.

Dia tidak diturunkan pada pilihan raya umum lalu susulan ada yang mempertikaikan mengenai kesetiaannya selepas Muhyiddin menubuhkan Bersatu dan kini mengetuai gabungan Perikatan Nasional. Namun Ismail kemudianya mengambil alih Umno Bahagian Pagoh daripada Muhyiddin.

Ismail berkhidmat sebagai Adun Bukit Kepong dari 2013 hingga 2018. Ia dikenali sebagai Bukit Serampang pada masa itu. Ia adalah kerusi DUN dalam kawasan parlimen Pagoh dengan Muhyiddin sebagai ahli parlimennya.

Hasni, pulz dijangka akan mempertahankan kerusi DUN Benut.

Enam jam selepas pengumuman itu, Presiden MCA Wee Ka Siong mengadakan sidang media berasingan untuk mengumumkan senaari calon mereka.

Wee berkata penangguhan itu perkara "biasa" kerana rundingan berlarutan sehingga awal hari ini.

Dia mengumumkan nama untuk 14 daripada 15 kerusi yang diperuntukkan kepada MCA, kecuali Puteri Wangsa.

Puteri Wangsa ditandingi Umno pada pilihan raya umum lalu tetapi diberikan kepada MCA sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran kerusi.

Pertukaran saat akhir bermakna MCA memerlukan lebih banyak masa untuk mencari calon yang sesuai.

Hari penamaan calon telah ditetapkan pada Sabtu ini manakala hari mengundi adalah pada 12 Mac.

Berikut senarai calon BN:

N1 Buloh Kasap - Zahari Sarip (Umno)

N2 Jementah - See Ann Giap (MCA)

N3 Pemanis - Annuar Manap (Umno)

N4 Kemelah - N Saraswati (MIC)

N5 Tenang - Haslinda Salleh (Umno)

N6 Bekok - Tan Chong (MCA)

N7 Bukit Kepong - Ismail Mohamad (Umno)

N8 Bukit Pasir - Mohd Fadzli Mohd Salleh (Umno)

N9 Gambir - Shah Rihan Ghani (Umno)

N10 Tangkak - Ong Chee Siang (MCA)

N11 Serom - Khairin Nisa (Umno)

N12 Bentayan - Gan Qi Ru (MCA)

N13 Simpang Jeram - Lokman Md Don (Umno)

N14 Bukit Naning - Fuad Tukirin (Umno)

N15 Maharani - Nur Fara Samsudin (Umno)

N16 Sungai Balang - Mohd Helmi Abd Latif (Umno)

N17 Semerah - Mohd Fared Mohd Khalid (Umno)

N18 Sri Medan - Zulkurnain Kamisan (Umno)

N19 Yong Peng - Ling Tian Soon (MCA)

N20 Semarang - Samsolbari Jamali (Umno)

N21 Parit Yaani - Mohd Najib Samuri (Umno)

N22 Parit Raja - Nor Rashidah Ramli (Umno)

N23 Penggaram - Ter Hwa Kwong (MCA)

N24 Senggarang - Mohd Yusla Ismail (Umno)

N25 Rengit - Mohd Puad Zarkashi (Umno)

N26 Machap - Onn Hafiz Ghazi (Umno)

N27 Layang-Layang - Mutalif Rahim (UMNO)

N28 Mengkibol - Kelly Chye Pei Yee (MCA)

N29 Mahkota - Sharifah Azizah (Umno)

N30 Paloh - Lee Ting Han (MCA)

N31 Kahang - R Vidyananthan (MIC)

N32 Endau - Yuzaimi Md Yusof (Umno)

N33 Tenggaroh - KK Raven (MIC)

N34 Panti - Hahasrin Hashim (Umno)

N35 Pasir Raja - Rashidah Ismail (Umno)

N36 Sedili - Muszaidi Makmor (Umno)

N37 Johor Lama - Norliza Noh (Umno)

N38 Penawar - Fauziah Misri (Umno)

N39 Tanjung Surat - Syed Sees Abd Rahman (Umno)

N40 Tiram - Azizul Bachok (Umno)

N41 Puteri Wangsa - Belum diumumkan (MCA)

N42 Johor Jaya - Chan San San (MCA)

N43 Permas - Baharudin Mohd Taib (Umno)

N44 Larkin - Hairi Md Shah (Umno)

N45 Stulang - Ang Boon Heng (MCA)

N46 Perling -Tan Hiang Kee (MCA)

N47 Kempas - Ramlee Bohani (Umno)

N48 Skudai - Lim Soon Hai (MCA)

N49 Kota Iskandar - Pandak Ahmad (Umno)

N50 Bukit Permai - Mohd Hafni Shukor (Umno)

N51 Bukit Batu - S Spayyah (MIC)

N52 Senai - Shen Poh Kuan (MCA)

N53 Benut - Hasni Mohammad (Umno)

N54 Pulai Sebatang - Hasrunizah Hassan (Umno)

N55 Pekan Nanas - Tan Eng Meng (MCA)

N56 Kukup - Jeferidin Atan (Umno)