Skip to main
Logo Malaysiakini

Genjatan politik PAS: Umno tunggu dan lihat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memaklumkan parti itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum bersetuju mengisytiharkan "gencatan politik" seperti dicadangkan PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

"Kita tunggu bagaimana penceramah dia (PAS) selepas ini. Kita harap penceramah dia tidak bantai Umno dan BN," kata Ahmad kepada pemberita di bangunan Umno di Johor Bahru selepas pengumuman rasmi calon BN pagi tadi.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyeru kepimpinan parti itu dan Umno supaya henti menyerang sesama sendiri pada PRN Johor.

Hashim berharap semangat Muafakat Nasional (MN) yang terbina sebelum ini dipertahankan demi kepentingan ummah di masa hadapan.

"Nampaknya pertembungan tiga penjuru tak dapat dielakkan. Saya seru kedua-dua pihak henti serang menyerang antara dua parti.

"Fikir panjang, kita ke hadapan, kita perlu berpadu.Kalau ada sedikit terluka lupakan," katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad sebelum itu menyertai pemimpin Umno dan BN yang diketuai Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad mengumumkan 41 calon

BN terdiri daripada 37 daripada Umno dan empat daripada MIC.

Baki 15 kerusi akan ditandingi oleh calon MCA bagaimanapun ia masih belum diumumkan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, dia secara peribadi tidak melancarkan sebarang "serangan" terhadap PAS, meskipun hubungan parti itu dengan Umno tegang selepas keputusan parti Islam itu bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN Johor.

"Saya sendiri tiada bantai (PAS) lagi," kata Ahli Parlimen Pontian itu, sambil menambah tiada arahan untuk BN menyerang PAS.

Pada 28 Jan lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyifatkan PAS umpama "itik patah kaki" yang kini berjalan sendirian dengan meninggalkan kawan yang telah merawatnya.

Hadi berkata selepas Umno bangkit semula, parti itu telah membelakangkan PAS.

Selepas pilihan raya umum 2018, Umno dan PAS telah membina kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) pada 2019 selepas berdekad bermusuh.

Bagaimanapun, PAS menyertai PN pada tahun berikutnya.

PN ditubuhkan oleh Bersatu yang juga parti serpihan Umno.

Umno sebelum ini mengambil keputusan untuk menarik balik sokongan kepada PN dan perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin Yassin.

Membalas kritikan Hadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyarfankan agar presiden PAS itu menukar profesyen sebagai "ahli zoologi".