Skip to main
Logo Malaysiakini

PBM calonkan bekas wakil rakyat PKR di Puteri Wangsa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor iaitu Puteri Wangsa, Tiram, Stulang dan Maharani.

Di DUN Puteri Wangsa, parti itu akan meletakkan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong sebagai calon di kerusi berkenaan.

Choong menang di parlimen Tebrau atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 namun keluar daripada parti itu tahun lalu bagi menyokong kerajaan BN-PN.

PBM sebelum ini mengisytiharkan parti itu sebagai mesra BN.

Pada PRU lalu, Bersatu menang di kerusi DUN Puteri Wangsa. ketika di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum meninggalkan gabungan itu dua tahun lalu.

PH menyerahkan kerusi Puteri Wangsa untuk ditandingi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang meletakkan setiausaha agungnya, Amira Aisya Abd Aziz sebagai calon.

BN dan PN masih belum menamakan calon mereka di kerusi berkenaan.

Sementara itu, kerusi DUN Tiram, Stulang dan Maharani masing-masing disandang wakil rakyat dari PKR, DAP dan Amanah.

Selain Puteri Wangsa, Tiram juga merupakan kerusi DUN dalam kawasan parlimen Tebrau.

PBM akan meletakkan Azmi Ali sebagai calon di Tiram manakala Saiful Bahari dan Hasni Asmui masing-masing akan bertanding di Stulang dan Maharani.

PBM dikaitkan dengan ahli majlis tertinggi Bersatu, Zuraida Kamaruddin, yang dikatakan tidak disenangi dalam parti itu.

Bagaimanapun, Zuraida menegaskan dia masih kekal dalam Bersatu. Setiausaha Agung PBM Hizwan Ahmad merupakan bekas pembantu Zuraida.