Skip to main
Logo Malaysiakini

Kontak rapat tak perlu kuarantin jika lengkap dos penggalak, tiada gejala

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kontak rapat pesakit Covid-19 tidak lagi perlu menjalani kuarantin jika mereka telah menerima suntikan dos penggalak mereka dan tidak menunjukkan simptom penyakit itu, menurut peraturan baru yang akan berkuat kuasa bulan depan.

Bermula 1 Mac, kontak rapat dalam kategori ini sebaliknya hanya perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 pada hari pertama dan hari ketiga selepas pendedahan terakhir mereka dengan pesakit Covid-19.

Peraturan baru itu diumumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Ini juga adalah satu langkah ke arah endemik. Maksudnya kita belum sampai ke endemik lagi, tetapi kita dengan liputan vaksinasi yang tinggi, dengan liputan dos penggalak yang semakin meningkat, dengan decoupling kes-kes harian dengan kesan daripada Covid-19, KKM rasa, berdasarkan penilaian risiko, ini adalah satu dasar yang boleh diperkenalkan pada waktu ini dalam pengurusan pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Ditanya mengenai rasional keputusan itu dan risiko penularan penyakit tanpa gejala, menteri berkata masih terdapat beberapa langkah perlindungan - iaitu keperluan untuk ujian pada hari pertama dan hari ketiga

Kontak rapat juga akan diminta menggunakan alat penilaian rumah MySejahtera, di mana pengguna akan ditanya sama ada mereka mengalami gejala Covid-19 atau tidak.

"Sekiranya mereka jadi positif ataupun dijangkiti oleh daripada kes indeks, kita dapati bahawa dengan Omicron, dia punya incubation period adalah pada tiga hari.

“Mereka akan menunjukkan gejala atau mereka boleh dikesan positif,” kata Khairy.

Selain itu, data mengenai varian Covid-19 terdahulu menunjukkan individu yang lengkap vaksin mempunyai viral load yang lebih rendah dalam badan mereka, dan Kementerian Kesihatan menganggap perkara yang sama berlaku dengan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak mereka yang kemudiannya mendapat varian Omicron.

Viral load yang lebih rendah dikaitkan dengan pengurangan kemungkinan penularan penyakit.

"Sudah pasti ini adalah satu pendekatan yang telahpun melalui penilaian risiko daripada KKM dan kita dapati bahawa sekiranya mereka tidak bergejala, kemungkian viral load mereka rendah adalah tinggi,” jelas menteri kesihatan lagi.

[Baca berita asal]