Skip to main
Logo Malaysiakini

Agus: PRN Johor dipenuhi kempen hipokrit teruk

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Setakat ini, kata ahli akademik dan pemerhati politik Mohammad Agus Yusoff PRN Johor masih tidak menunjukkan perubahan kematangan pelbagai pihak seperti diharapkan orang ramai.

Katanya selepas sekian lama perubahan yang sepatutnya berlaku masih jauh untuk terjadi.

Menurut Agus, ketika begitu banyak masalah yang boleh diperkatakan sebagai menarik perhatian rakyat, pelbagai pihak yang terlibat masih mengambil pendekatan lama dalam strategi masing-masing iaitu menampilkan agenda politik perkauman dan agama.

"Banyak isu yang boleh diangkat sebagai bahan kempen dalam PRN Johor ini. Misalnya kenaikan harga barang, kos sara hidup, pengangguran, peluang pekerjaan, amalan prosedur operasi standard (SOP) dua darjat, kemiskinan, pendidikan, dan rasuah.

"Walaupun begitu kempen awal PRN ini membosankan saya kerana ia masih terikat dengan pendekatan dan strategi lama - politik kaum dan politik agama.

"Kedua-duanya ditunggang semahu-mahunya," kata pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Tambah Agus, pemimpin politik gigih memecah-belahkan rakyat dengan kedua-dua sentimen berkenaan sebelum menabur janji dalam kempen masing-masing kononnya untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu.

"Teruk hipokrit politik sebegini," katanya lagi.

Memundurkan demokrasi

Sementara itu parti pembangkang pula terus mengkritik hebat kerajaan, tetapi mesej mereka tidak meyakinkan, terutama apabila mereka sendiri gagal bersepakat.

Lebih menakjubkan lagi, katanya, pembangkang sedar peluang untuk menang memang tipis namun dalam keadaan begitu pun mereka tetap berebut-rebutan untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi.

Di pihak BN pula, kata Agus lagi, mereka berjanji untuk menyelesaikan masalah rakyat namun menggunakan "data separuh masak" untuk berkempen.

"Saya tidak tahu penerimaan rakyat kepada kempen sebegini.

"Yang saya tahu ialah kos hidup meningkat, rakyat susah, miskin dan tertekan. Yang saya tahu ialah barisan parti pembangkang tidak bersatu, dan barisan kabinet pula tidak kompeten dan lembab," katanya.

Mengensi SOP berkempen pula, Agus berkata, ia bukan membangunkan demokrasi seperti sepatutnya bahkan memundurkan.

Hal itu berlaku, katanya, kerana untuk berceramah pun pihak yang terbabit harus mendapatkan permit polis terlebih dulu walaupun dunia kini begitu canggih dengan pelbagai kemudahan.

"Tidak cukupkah sekadar memberitahu pihak polis tentang tarikh dan tempat kempen? Ini sudah zaman ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), dan syarat untuk berkempen kita tertolak belakang, bukan ke depan.

"Saya selalu bertanya. Mengapa kematangan politik kita tidak berubah? Mengapa takut untuk berubah?

"Semoga pengundi Johor memilih untuk membawa perubahan pada politik negara," katanya.