PM: M'sia harap penyelesaian damai segera dicapai Ukraine, Rusia
Malaysia berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik itu.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui hantaran terbaru di akaun Twitter rasminya, hari ini.
Beliau turut meluahkan rasa dukacita atas perkembangan di Ukraine dan memaklumkan keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat.
Terdahulu, dalam sidang media pada akhir lawatan rasmi dua harinya ke Kemboja pada Khamis, Ismail Sabri berkata Malaysia sedang dalam proses memindahkan 11 rakyatnya dari Ukraine.
Menurut laporan media antarabangsa, Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.
Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.
Ukraine turut mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, disebabkan ‘risiko tinggi’ terhadap penerbangan awam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai