ULASAN | Akta ekonomi gig, satu alternatif
Setelah Revolusi Industri 4.0, seluruh dunia mengalami perubahan drastik daripada segi ekonomi dan perniagaan. Ini secara tidak langsung mengubah landskap dunia pekerjaan. Perkembangan dunia teknologi menyebabkan wujudnya perniagaan yang dipanggil ‘disruptive’ kerana ‘mengganggu’ status quo atau kebiasaan aturan dalam industri.
Oleh sebab itu, terdapat keperluan yang besar terutamanya di pihak pembuat dasar untuk menilai semula akta dan undang-undang sedia ada bagi memastikan tiada kumpulan yang tertindas dalam aturan baharu ini.
Ini termasuklah ‘unicorn2’ yang muncul dan berjaya mengambil peluang daripada kemudahan teknologi yang memungkinkan mereka melangkah laju dan meraih keuntungan luar biasa.
Antaranya termasuklah perniagaan aplikasi berdasarkan platform yang tidak perlu mematuhi beberapa prosedur dan undang-undang sepertimana perniagaan lain.
Walaupun ini memberikan kelebihan kepada mereka, namun begitu pembuat dasar haruslah mengambil tahu sekiranya terdapat perkara yang boleh menyebabkan berlakunya penindasan baharu dalam landskap baru.
Perubahan ini juga membuatkan pekerjaan makin dilihat sebagai komoditi. Pekerjaan yang mudah ditukar, dijual beli dan sebaiknya tidak kuat ditadbir undang undang.
Landskap pekerjaan yang berubah ini membuatkan terlepasnya perkara-perkara asas dalam undang-undang yang selama ini menjamin kebajikan mererka yang menjalankan tugasan bagi mendapatkan bayaran. Contohnya terhadap golongan pekerja gig seperti pemandu e-hailing.
Mereka ini sebenarnya golongan rentan yang terdedah dengan pelbagai diskriminasi.
Mereka golongan yang mengeluarkan kos yang banyak untuk memulakan servis yang dipasarkan sebagai ‘rakan niaga’, Namun begitu, tidak terdapat sebarang akta dan undang-undang yang melindungi mereka.
Sebaliknya, terdapat beratus-ratus kes dan isu yang timbul dan tidak dapat diselesaikan disebabkan kelompongan undang-undang.
Antara contoh isu yang timbul ialah isu pemandu e-hailing yang ditamatkan perkhidmatan tanpa sebarang justifikasi, isu penilaian berat sebelah, bayaran tidak setimpal, perubahan terma dan syarat tanpa persetujuan jelas sehingga mengakibatkan kerugian vendor makanan.
Pindaan akta kerja
Dengan pelbagai isu ini, kerajaan tidak berupaya melindungi dan mencari penyelesaian disebabkan ketiadaan undang-undang yang sesuai untuk menyelesaikan kemelut ini. Misalnya sehingga sekarang, kes Puan Ivy Loh masih tidak ada jalan penyelesaian.
Kerajaan baru-baru ini membentangkan pindaan pada Akta Kerja 1955 dalam bacaan pertama yang memasukkan definisi-definisi baru untuk mengkategorikan seseorang itu sebagai pekerja.
Ini termasuklah cara kerja yang tertakluk dengan arahan dan hala tuju orang lain, keadaan apabila servis seseorang itu penting untuk keberlangsungan sesebuah perniagaan dan keadaan seseorang itu diberikan alatan atau material untuk melaksanakan sesuatu tugasan.
Definisi-definisi ini bertepatan dengan kriteria pekerjaan seperti pemandu e-hailing. Ia seiring dengan definisi dan kriteria standard global yang menjadikan hubungan seseorang itu persis hubungan pekerja-majikan, berbanding sebagai kontraktor bebas, khususnya daripada segi tahap penguasaan dan kebebasan antara kedua pihak dalam aturan kerja tersebut.
Sebagai contoh, apabila pemandu e-hailing mendapat tawaran tugasan mengambil penumpang yang jauh daripada lokasinya dan menolak tawaran tersebut, penilaian prestasi beliau boleh merudum.
Begitu juga apabila terdapat aduan daripada penumpang, syarikat pembekal platform mempunyai hak dan kuasa menamatkan perkhidmatan pemandu tersebut sebarang ruang pembelaan diri.
Pemandu juga tidak bebas menyiapkan tugasan yang diberikan, sebaliknya akan dipantau sepanjang perjalanan. Semua ciri-ciri pekerjaan ini menjurus kepada tingginya kekuasaan pembekal platform dan rendahnya autonomi pemandu untuk dikriteriakan sebagai kontraktor bebas.
Setelah pelbagai tekanan, kerajaan akhirnya mengeluarkan pindaan ini. Namun begitu pindaan sebegini dijangka tidak dapat menyelesaikan permasalahan yang ada dalam landskap dunia digital disebabkan norma dan cirinya yang berlainan dengan landskap dunia pekerjaan tradisional.
Antara persoalan yang timbul adalah kebolehlaksanaan terma fleksibliti, iaitu bahagian baru yang dimasukkan - pekerja boleh memohon untuk pekerjaan fleksibel, kesesuaian bahagian-bahagian lain seperti cuti materniti, pengiraan gaji minima, pengiraan kadar lebih masa, penentuan hari rehat dan proses terminasi.
Terma baru seperti ‘pekerja bebas’
Oleh itu, adalah lebih wajar untuk kerajaan memikirkan akta baru yang lebih sesuai untuk digunakan dalam landskap pekerjaan digital yang sudah jelas berlainan daripada landskap pekerjaan tradisional.
Antara cadangan yang dikemukakan oleh beberapa badan pemikir seperti Refsa dan The Centre adalah kewujudan terma baru seperti ‘pekerja bebas’ ataupun akta baru seperti Akta Kerja Saksama. Kerajaan juga boleh mengambil kira proses yang dilalui oleh vendor makanan untuk memastikan setiap pemain dalam landskap ekonomi digital tidak ditindas.
Akta baru seperti Akta Ekonomi Gig - yang terdapat definisi jelas dan cakupannya bukan hanya untuk pekerja, tetapi juga untuk vendor, perniagaan dan semua pemain dalam industri - boleh diperhalusi dan diperkenal.
Akta dan polisi menyeluruh dalam dunia digital ini akan membantu membentuk hala tuju Malaysia dalam landskap digital sekali gus membuatkan implementasi lebih mudah serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Negara-negara maju sudah pun melakukan kajian akta ekonomi gig seperti di Amerika Syarikat. Sebahagian lain sudah pun membuat perubahan akta. Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam perkara ini, sebaliknya haruslah pantas dan komprehensif dalam menggubal dasar bagi membolehkan kita berada di tahap yang tinggi dalam ekonomi digital.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai