Najib tunjuk legasi di Johor, kritik Muhyiddin bantah lulus sekolah Cina
Menjelang kempen PRN Johor yang akan bermula esok, Pengerusi Lembaga Penasihat BN Najib Razak dilihat giat bergerak di negeri itu.
Antara programnya semalam adalah kunjungan ke Sekolah Menengah Foon Yew di Seri Alam, Johor Bahru.
Tanpa menyebut sebarang nama, Najib berkata penubuhan sekolah persendirian Cina itu pada 2013 tidak akan menjadi kenyataan jika ia diserahkan kepada menteri pendidikan pada masa itu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin adalah menteri pendidikan pada 2009 hingga 2015 di bawah pentadbiran Najib.
Dalam kunjungan itu, Najib diundang untuk menyampaikan ucapan, di mana dia berkata bertegas untuk meluluskan pembinaan sekolah itu pada 2013 walaupun dibantah menteri pendidikan pada masa itu.
“Walaupun menteri pendidikan ketika itu tak setuju, saya tak ingin sebut nama…tapi saya, sebagai perdana menteri, arahkan kelulusan untuk pembinaan sekolah Foon Yew baru.
“Ini adalah sumbangan kita kepada masyarakat Cina kerana saya percaya pilihan pendidikan perlu diberikan kepada rakyat,” katanya.
Menurut Najib, Malaysia tidak melaksanakan langkah asimilasi seperti Indonesia dan Thailand, tetapi memilih jalan integrasi yang berdasarkan keterangkuman dan saling hormat.
“Di Malaysia kita amalkan integrasi. Kita hormat agama, budaya dan gaya hidup satu sama lain. Ini keadaan di Malaysia dan kita dapat hidup dengan aman.”
Dengan PRN Johor yang semakin dekat, Najib menggesa masyarakat Cina agar tidak membazirkan undi mereka kepada parti politik yang “tidak dapat membentuk kerajaan”.
Dia juga memetik kata pepatah Cina yang berkata orang yang minum daripada sebuah perigi tidak harus melupakan orang yang menggalinya - yang membawa maksud berterima kasih.
“Saya tak lihat PH mampu tubuhkan kerajaan. Mustahil. Saya tak lihat PKR, Bersatu dapat tubuh kerajaan, begitu juga Muda. Tetapi saya lihat hanya BN ada kemungkinan untuk memang besar.
“Jika kita dapat tubuhkan kerajaan yang kuat dan stabil, kita dapat lakukan banyak perkara. Seperti yang saya lakukan ketika pentadbiran saya (dengan menubuhkan sekolah Cina yang baru,” katanya lagi.
Sekolah Menengah Foon Yew adalah sekolah Cina berprestij dan terbesar di Malaysia, dengan tiga cawagan di Johor - Johor Bahru, Kulai dan Seri Alam.
Najib juga meluluskan pembinaan cawangan sekolah itu di Kulai ketika menjadi menteri pendidikan pada 1999.
Pihak sekolah berterima kasih
Kunjungan Najib semalam dilihat kontroversi memandangkan dia telah disabitkan bersalah ke atas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dalam kes dana SRC International.
Dia kini dalam proses rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta di Mahkamah Persekutuan.
Pada masa sama, bekas perdana menteri itu dilihat kekal popular dengan tagline Malu Apa Bossku.
Podium yang digunakan ketika Najib menyampaikan ucapan memaparkan moto sekolah dalam empat karakter Cina, yang merujuk kepada tingkah laku, kewajaran, integriti dan tahu malu.
Ditanya sama ada kunjungan Najib konsisten dengan moto sekolah, pengerusi Sekolah Menengah Foon Yew Tay Chin Hein berkata mereka tidak ingin mencetuskan sebarang salah faham.
Menurut Tay, kunjungan itu atas permintaan pihak Najib. Dia juga menegaskan ia tiada kaitan dengan latar belakang dan tindakan peribadi Najib.
“Dia meluluskan pembinaan cawagan sekolah pertama di Kulai, dan kemudian di Seri Alam. Kita berterima kasih kepadanya.
“Jadi apabila dia kata ingin datang, tentulah kita sangat alu-alukan. Kita sambut dia dengan rasa berterima kasih dan fikiran yang terbuka,” katanya lagi.
Dia juga menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat dan senang untuk berkomunikasi.
Jika bukan kerana Najib, katanya lagi, sekolah itu tidak akan berada di kedudukannya sekarang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai