Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kelemahan peraturan' ladang hutan: Peka gesa PM, Agong campur tangan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peka Malaysia mempersoalkan jika Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah akan menangani isu pembalakan hutan di Pahang.

Naib Presiden Peka Damien Thanam juga menolak tanggapan bahawa pemaju mengeksploitasi "kelemahan" dalam undang-undang untuk menjalankan projek pembukaan ladang hutan berskala besar.

"Kelemahan? Kami percaya peraturan dibuat memang atas sebab itu, untuk memudahkan pembalakan dan memusnahkan hutan kita.

"Ia bukan kelemahan yang ditemui secara tidak sengaja dalam sistem," kata Thanam menerusi kenyataan kepada Malaysiakini.

Katanya, menutup "kelemahan" dan menyelesaikan isu tersebut memerlukan kemahuan politik dan keikhlasan dalam pihak pembuat keputusan.

"Adakah perdana menteri, selaku seorang ahli parlimen dari Pahang, akan mengulas perkara ini? Adakah Seri Paduka (yang merupakan Sultan Pahang) akan menitahkan siasatan?" soalnya.

Pada 23 Februari lalu, Malaysiakini melaporkan bagaimana pemaju membahagikan projek berskala besar kepada beberapa projek bersaiz sederhana untuk mengelak laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada dihebahkan.


Baca: Pecahkan projek di hutan simpan: Bagaimana pemaju guna 'kelemahan peraturan'


Untuk mengesahkan perkara ini, Malaysiakini telah meneliti projek ladang hutan bersaiz sederhana - meliputi 100 hingga 500 hektar.

Difahamkan antara projek yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun lepas, ladang hutan mendahului senarai dengan 18 projek dan kesemuanya adalah projek bersaiz sederhana.

Daripada 18 itu, tujuh projek berkaitan dengan Fajarbaru Builder Group Berhad. Subsidiari dan sekutu firma ini dikaitkan dengan pemimpin MCA dan ahli keluarga mereka.

Pengerusi eksekutif Fajarbaru ialah bekas timbalan presiden MCA Chan Kong Choy, yang pernah memegang beberapa jawatan kerajaan termasuk menteri pengangkutan, sebelum bersara daripada politik.

Sementara itu, Thanam berkata untuk menamatkan perkara ini, Jabatan Perhutanan negeri di seluruh negara harus segera menetapkan syarat untuk semua projek hutan, tanpa mengira saiz, untuk melaksanakan EIA yang lengkap dan mewajibkan pendengaran awam sebagai bahagian utama penilaian sebelum kelulusan diberikan.

Dia juga menggesa laporan terperinci daripada Jabatan Hidupan Liar mengenai kajian di lokasi-lokasi ini didedahkan kepada umum dan ditambah ke dalam laporan EIA.

[Baca berita asal]