Skip to main
Logo Malaysiakini

Warisan letak enam calon di Johor, cabar lima kerusi PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Warisan yang berpangkalan di Sabah meletakkan enam calon pada pilihan raya negeri Johor pada 12 Mac ini.

Parti itu akan meletakkan calon-calonnya di Bekok, Johor Jaya, Pekan Nanas, Mahkota, Bukit Batu, dan Permas.

Kecuali Permas, semua kerusi lain sekarang dimiliki oleh Pakatan Harapan.

Pada PRU-14 lalu, DAP menang di Bekok, Johor Jaya dan Pekan Nanas, manakala Amanah adalah penyandang Mahkota dan PKR di Bukit Batu.

Permas dimenangi oleh Bersatu pada 2018 ketika bersama PH. Amanah akan bertanding di kerusi itu mewakili PH pada pilihan raya negeri, kali ini.

Enam calon Warisan itu adalah Hishamuddin Busri (Pekan Nanas), Sandara Segaran Arumugam (Bekok), Mohamed Noor Suleiman (Mahkota), Chen Hain Kai (Johor Jaya), Lee Ming Wen (Bukit Batu) dan Mohamed Ridza Busu (Permas).

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal sebagai berkata walaupun Warisan tampil buat kali pertama di Johor, dia yakin rakyat akan membuat pilihan bijak dan memilih kerajaan berintegriti.

"Warisan memilih calon dalam kalangan mereka yang berpengalaman, muda dan telah menabur bakti di kawasan yang ditandingi, menitikberatkan semangat kepelbagaian kaum serta berintegriti,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru, selepas pengumuman senarai calon parti itu.

Menurut Shafie, penglibatan Warisan dalam PRN Johor merupakan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

"Inilah titik permulaan kita (Warisan) di tanah Semenanjung, untuk sediakan struktur parti Warisan yang sudah ditubuhkan di Johor dengan calon-calon yang ada," kata bekas Ketua Menteri Sabah itu.

Warisan buat pertama kalinya bertanding dalam PRN Johor selepas parti politik itu melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia pada 17 Dis lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian adalah pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac.