Skip to main
Logo Malaysiakini

1MDB: Jho Low proksi Najib untuk 'niat penipuan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

1MDB mendakwa Low Taek Jho, atau Jho Low, adalah "pengarah bayangan" syarikat itu ketika dakwaan penyelewengan dana miliknya.

Dalam jawapan kepada pernyataan pembelaan defendan yang dilihat Malaysiakini 1MDB berkata ini kerana ahli perniagaan dalam pelarian itu bertindak sebagai proksi bekas perdana menteri Najib Razak.

"Defendan pertama (Low) pada setiap masa material adalah pengarah bayangan kerana dia adalah proksi dan/atau rakan sekutu dan/atau ejen Najib.

"Defendan pertama telah mendapatkan proksi-proksinya untuk bekerja dalam plaintif-plaintif, termasuk Terrence Geh, Casey Tang, Nik Faisal dan Jasmine Loo yang kesemuanya merupakan kohortnya," kata 1MDB.

1MDB juga mendakwa mereka memegang jawatan pengurusan kanan utama dalam 1MDB dan melaksanakan keputusan untuk memfasilitasikan penggunaan dana dengan niat penipuan (fraudulent intentions) Jho Low dan Najib.

"Dalam apa jua keadaan, defendan pertama telah menerima dana kepunyaan plaintif-plaintif dalam jumlah yang telah dinyatakan dalam Pernyataan Tuntutan Terpinda apabila dia mengetahui atau patut mengetahui bahawa dana tersebut adalah dimiliki oleh plaintif-plaintif dan ia telah dialihkan kepadanya secara pecah amanah dan/atau pelanggaran tugas fidusiari. Oleh itu, defendan pertama pada setiap masa material adalah pemegang amanah konstruktif bagi plaintif-plaintif," dakwa syarikat itu lagi.

1MDB dan empat subsidiarinya menjawab pernyataan pembelaan Jho Low bahawa dia tiada kedudukan dari segi perundangan untuk mengawal syarikat itu dan subsidiarinya.

Pernyataan pembelaan itu dibuat terhadap tindakan sivil oleh 1MDB dan empat subsidiarinya berhubung dakwaan manipulasi pihak ketiga yang membawa kepada penyelewengan berbilion ringgit dananya.

1MDB dan empat subsidiarinya - 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Ltd, 1MDB Energy (Langat) Ltd dan Global Diversified Investment Company Ltd, dahulu dikenali sebagai 1MDB Global Investments Ltd - memfailkan saman terhadap Jho Low dan keluarganya.

Selain Jho Low, lima lagi defendan adalah ibu dan bapanya, Low Hock Peng and Goh Gaik Ewe; kakanya Low May Lin; adiknya Low Taek Szen; dan individu didakwa sebagai sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Menerusi saman itu, 1MDB menuntut arahan agar Low dan defendan lain membayar semula ratusan juta dolar yang didakwa telah diselewengkan.

Ia antara 22 tindakan sivil yang difailkan 1MDB dan bekas subsidiarinya SRC International tahun lalu, menyasarkan pihak yang dikatakan menipu dua entiti itu sama ada secara dalam pengetahuan atau pun tidak.

‘Tiada salah laku didapati dalam tindakan sivil DOJ’

Najib, yang merupakan bekas menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC, merupakan defendan dalam beberapa tindakan sivil tersebut.

Dalam satu lagi perbicaraan jenayah terhadap Najib berhubung 1MDB dan SRC, pasukan pembelaan berhujah yang Najib tidak tahu berkenaan sebarang salah laku yang didalangi Jho Low dan beberapa individu lain.

Dalam jawapan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu, 1MDB turut dilabel sebagai "seluruhnya tidak relevan berkenaan dakwaan Jho Low yang tindakan sivil itu tidak diperlukan (redundant)", ekoran dakwaan penyelesaian global yang dicapai dalam tindakan sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat terhadapnya.

Dalam pernyataan pembelaannya, Jho Low berkata "penyelesaian global dan menyeluruh" tindakan sivil DOJ dicapai tanpa menemui sebarang "kesalahan, kesilapan, liabiliti dan/atau sebarang bentuk salah laku".

1MDB pula mendakwa tindakan sivilnya terhadap Jho Low berdasarkan bukti lain yang tidak termasuk dalam dakwaan dalam saman sivil DOJ.

"Oleh itu, pembelaan yang didakwa oleh defendan pertama bahawa dia tidak pernah mengaku liabiliti dalam prosiding yang difailkan oleh DOJ Amerika Syarikat adalah kesemuanya tidak relevan," kata 1MDB.

[Baca berita asal]