Skip to main
Logo Malaysiakini

MCA harapkan kebangkitan semula di kawasan penyelamat Wee

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perjuangan MCA untuk bangkit sebagai kuasa politik berpengaruh bukan lagi rahsia, terutamanya ketika sambutan penubuhannya yang ke-73 tahun di Yong Peng, Johor hari ini.

Yong Peng merupakan satu daripada dua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Ayer Hitam. Ia adalah kerusi sentimental bagi MCA kerana memberikan parti itu talian hayat dalam menghadapi kekalahan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

MCA pernah melalui zaman kegemilangannya - apabila 'menakluk' 31 kerusi parlimen pada 2004 - hinggalah dia hampir tersingkir sama sekali dari Dewan Rakyat akibat penolakan besar-besaran pada 2018.

Ketika itu presidennya Wee Ka Siong terselamat apabila berjaya mengekalkan kerusi di Ayer Hitam dan mengatasi calon DAP, Liew Chin Tong. Dan Wee menjadi satu-satunya ahli Dewan Rakyat MCA ketika itu.

“Ketika itu, di bumi bertuah Yong Peng ini, saya berjaya menang dengan majoriti 303 undi," kata Wee.

Kemudian datanglah pilihan raya kecil di Tanjung Piai pada 2018. MCA - yang menjadi pembangkang ketika itu - berjaya menambah bilangan kerusinya menjadi dua melalui Wee Jeck Seng.

Di peringkat DUN, MCA Johor memang mengalami kekalahan teruk. Tidak ada seorang pun calon mereka berjaya mengatasi cabaran pada 2018.

Peluang dapat sokongan semula

Kali ini, Wee berkata MCA sekali lagi menghadapi pertempuran antara "hidup dan mati" dan ia bergantung kepada pengundi yang telah menyelamatkannya pada PRU ke-14 lalu.

"Jika kita melakar kejayaan di Johor, maka ia boleh menjadi permulaan kepada kemenangan yang lebih besar dalam PRU ke-15," katanya kepada kira-kira 500 penyokong parti pada jamuan makan tengah hari MCA itu.

Sesuai prosedur operasi standard Covid-19 dewan itu tidak sesak mengikut kapasiti sebenar, namun separuh daripadanya terisi.

Di Yong Peng, MCA meletakkan individu yang paling dipercayai Wee, iaitu Ling Tian Soon, yang juga setiausaha organisasi MCA kebangsaan dan ketua Pemuda MCA Johor.

Wee menjelaskan dia berharap Ling mampu membawa parti itu ke dalam DUN Johor selepas 12 Mac ini.

Wee Ka Siong

"Dalam PRN ini, daripada 15 calon MCA, yang paling senior ialah calon di Yong Peng kerana dia juga setiausaha organisasi kebangsaan MCA," katanya.

Ling akan menentang Alan Tee Boon Tsong, yang merupakan setiausaha politik kepada Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Pada PRU lalu, walaupun DAP tewan di Ayer Itam, parti itu memenangi Yong Peng dengan majoriti 5,089 undi melalui calon mereka, Chew Peck Choo. Wee 'terselamat' apabila penyokong MCA - yang ada dalam kawasan DUN Semarang - memberikan sokongan padu kepadanya.

Namun di sebalik majoriti selesa DAP di Yong Peng, Tee adalah orang baru yang dibawa ke situ bagi menggantikan penyandang, Chew. Tee sebelum ini menjadi Adun di kerusi selamat DAP iaitu Senai.

Bangkitkan isu UEC

Wee berkata ini adalah peluang parti Cina untuk meraih semula sokongan di DUN Johor selepas ditolak dalam PRU lalu.

“Perjuangan ini amat penting memandangkan belum ada wakil MCA dalam kerajaan Johor.

"Jadi kita perlu baiki keadaan ini supaya kerajaan negeri dapat mencerminkan kepelbagaian masyarakat di Johor dan memastikan tiada kumpulan etnik yang tercicir dalam arus perdana pembangunan," katanya.

Pada majlis itu, Wee turut mengumumkan Pengerusi MCA Tebrau Ng Yew Aik sebagai calon Puteri Wangsa.

MCA semalam menangguhkan pengumuman kerusinya disebabkan pertukaran saat akhir dengan Umno.

Daripada 15 calon MCA, 10 adalah muka baru. Separuh daripadanya berumur bawah 40 tahun dengan yang paling muda berusia 27 tahun, manakala yang paling tua berusia 60 tahun.

Wee turut memulakan serangannya terhadap Pakatan Harapan (PH) semasa majlis itu dengan mendakwa gabungan terbabit - yang memperolehi mandat pada 2018 - gagal menunaikan janji manifesto mereka ketika menjadi kerajaan.

Ini termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan memansuhkan tol lebuh raya.

Dia juga mengkritik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana meletak jawatan sebagai perdana menteri PH sebelum ini dengan menyatakan bahawa ia menyebabkan ketidakstabilan politik di negara ini.

Calon-calon itu akan dinamakan dan didaftar secara rasmi ke Suruhanjaya Pilihan Raya esok.

Kempen akan bermula serta-merta selepas penamaan calon esok. Rakyat Johor akan mengundi pada 12 Mac.