Skip to main
Logo Malaysiakini

Bossku - Kelebihan atau bakal jejaskan BN dalam PRN Johor?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | BN telah berulang kali dicabar seteru politiknya untuk menjadikan pemimpin seperti bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disabit bersalah di mahkamah, sebagai ‘poster boy’ dalam PRN Johor.

Cabaran itu seperti belum disahut BN. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini jelas menyatakan calon menteri besarnya, Hasni Mohammad akan mengetuai kempen gabungan itu.

Namun ia tidak menghalang Najib daripada membuat kemunculan awam sepanjang minggu lalu, termasuk kunjungan ke pesta Chingay dan Sekolah Menengah Foon Yew Sri Alam, yang mana pembinaannya diluluskannya ketika menjadi perdana menteri pada 2013.

Di kedua-dua kunjungan, Najib yang menjenamakan dirinya semula sebagai “Bossku” setelah kekalahan dalam PRU14, diiringi oleh pemimpin masyarakat Cina.

Namun, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong tetap skeptikal terhadap populariti Najib di kalangan masyarakat itu.

Dalam temu bual bersama media berbahasa Cina semalam, Liew mengakui yang Najib memang mempunyai pengaruh di kalangan penyokong tegar BN tetapi dia percaya bekas perdana menteri itu mungkin menjadi faktor pengundi atas pagar untuk menolak gabungan itu.

Menurutnya, Johor adalah negeri unik kerana kebanyakan kawasan DUN adalah kerusi campuran, dan hanya sedikit dengan majoriti kaum tertentu. Kerusi-kerusi ini memiliki jumlah pengundi atas pagar yang signifikan, termasuk di kalangan orang Melayu, yang mungkin tidak tertarik dengan pemimpin yang telah disabitkan bersalah.

“Najib adalah tokoh yang bukan di pertengahan. Penyokong kuat BN akan menyokongnya tetapi kalangan yang tidak suka kepadanya akan terus tidak menyukainya,” katanya.

Liew yang bertanding di kerusi DUN Perling berkata, faktor Najib mungkin tidak mempengeruhi PRN kali ini.

Bagi penyokong Najib, Liew berkata mereka tetap menyokongnya walaupun ketika kemuncak skandal korupsinya dan hampir mustahil untuk perkara itu berubah.

Katanya lagi, Najib malah mungkin akhirnya menjejaskan BN Johor yang perlu meyakinkan pengundi atas pagar untuk menyokong mereka.

“Mereka fikir ramai usahawan Cina sangat suka Najib dan mahu kembali ke masa lalu.

“Saya sangat skeptikal tentang ini kerana BN mungkin menipu diri sendiri,” katanya.

Liew sebaliknya menjangka BN Johor akan terus mempromosikan Hasni sebagai pemimpin gabungan itu.

Najib kini sedang dalam proses rayuan terhadap sabitan ke atasnya serta hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta di Mahkamah Persekutuan.