Star tiada masalah KDM sertai GRS - Jeffrey Kitingan
Parti Solidariti Tanah Airku (Star) bersedia menerima permohonan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang baru didaftarkan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden Star, Jeffrey Kitingan bagaimanapun berkata penyertaan itu memerlukan persetujuan daripada rakan komponen GRS yang lain.
"Bagi saya tiada masalah, tetapi kita kena dengar yang lain juga," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Kitingan yang Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata dia percaya dengan kemasukan parti yang dipimpin bekas Naib Presiden Warisan, Peter Anthony itu akan memperkukuhkan lagi kerajaan GRS.
"Saya percaya ini akan dibincangkan dengan secepat mungkin dan saya percaya juga ada kebaikannya untuk menerima permohonan itu kerana ia juga akan memperkukuhkan kerajaan GRS.
"Jadi saya melihat ini sebagai satu yang boleh memperkuatkan kerajaan kerana kerajaan ingin melihat kesatuan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti (dalam GRS)," katanya.
KDM didaftarkan secara rasmi pada 18 Februari lalu.
Peter membuat keputusan keluar Warisan pada Disember tahun lalu selepas tidak bersetuju dengan keputusan parti berpengkalan di Sabah itu untuk mengembangkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia.
Ketika mengumumkan parti baru itu, Peter berkata agenda pertama KDM adalah untuk menyertai GRS.
Sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang juga rakan komponen GRS meminta KDM membuktikan kesetiaan mereka terlebih dahulu sebelum permohonan parti itu dipertimbangkan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai