Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin tak layak jadi penasihat ekonomi Johor, kata Najib

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan penggantinya, Muhyiddin Yassin sebagai gagal dan tidak layak menjadi penasihat ekonomi Johor.

Najib memberitahu pemberita bahawa tanggapan itu berdasarkan rekod prestasi Muhyiddin sebagai perdana menteri - terutamanya, pengendalian wabak Covid-19 dan krisis ekonomi.

“Ramai orang - bukan saya sahaja - telah mengatakan bahawa beliau telah mengetuai kerajaan yang gagal menangani pandemik Covid-19 dan juga isu ekonomi semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Selepas itu, beliau tidak dapat terus menjadi perdana menteri. Apakah yang boleh beliau bawa daripada pencapaian lepas yang akan menjadikan beliau penasihat ekonomi yang meyakinkan untuk Johor - siapa yang boleh membantu pembangunan Johor?

"Banyak orang kata - bukan saya saja - kalau dia mengepalai kerajaan gagal menangani Covid dan masalah ekonomi.

"Selepas itu dia tak dapat meneruskan sebagai perdana menteri - maknanya apa sokongan yang boleh dibawa dari segi pencapaiannya yang boleh meyakinkan bahawa sebagai penasihat ekonomi negeri Johor, dia boleh membantu pembangunan negeri Johor?

"Itu yg dipersoalkan oleh banyak pihak," kata Najib yang merupakan pengerusi lembaga penasihat BN semasa sidang media di Kompleks Seri Pekembar, Bukit Kepong hari ini.

Najib berkata demikian sebagai respons kepada Muhyiddin yang menawarkan khidmatnya sebagai penasihat ekonomi kerajaan negeri, sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi PRN pada 12 Mac.

Muhyiddin sebelum ini berkata dia berhasrat membantu ekonomi negeri yang terjejas akibat wabak Covid-19 dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan latihan kemahiran.