Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Johor penentu hala tuju PRU15 - penganalisis

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi penentu kepada hala tuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 jika BN berupaya mengulangi kejayaan di Melaka sebelum ini.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata BN tampak selesa pada PRN Johor ekoran pertembungan banyak penjuru membabitkan parti pembangkang.

"BN jika ditanya akan capai kejayaan mirip Melaka, memang kejayaan itu boleh dicapai tapi sama ada dua pertiga itu belum boleh ditentukan.

"Saya pasti PRU akan didesak (untuk diadakan segera) bukan saja oleh BN tapi secara umum, automatik, kerana untuk mengelak PRN yang lain sama ada di Perak atau di Kedah selagi PRU tidak dijalankan

"Bagi saya Johor bukan saja ujian kepada ketiga-tiga parti besar BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) tetapi ujian kepada (pelaksanaan) Undi 18," katanya kepada Malaysiakini.

Undi 18 merujuk kepada penurunan had minimum pengundi daripada 21 kepada 18 tahun, yang pertama kali akan dilaksanakan pada PRN 12 Mac ini.

Jelas Azmi penyertaan banyak parti politik baru dalam pilihan raya ini yang dilihat sebagai pembangkang memberi kelebihan kepada BN.

Katanya ia akan membawa kepada perpecahan undi dalam kalangan parti pembangkang termasuk PN.

Proses penamaan calon PRN Johor hari ini menyaksikan enam parti baru membuat penampilan kali pertama dan tiada kerusi berlaku pertembungan satu lawan satu.

Parti Pejuang, Warisan, Muda, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan PSM.

PRN Johor secara rasmi telah membuka gelanggangnya hari ini sehingga 12 Mac nanti.

Momentum untuk BN

Sementara itu, Penganalisis Sosiopolitik dan Sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi, berkata berdasarkan sentimen dan momentum BN begitu bersemangat membina kemenangan di Johor.

"Sebab mereka yakin dengan keberanian untuk mengadakan PRN Johor dan mendahului pihak parti sekutu yang menggugut untuk menekan butang untuk menumbangkan kerajaan pimpinan menteri besar Umno.

"Berdasarkan momentum awal mereka rancak membuat perjumpaan dan berkempen sejak sebelum penamaan calon lagi.

"Sudah pasti jika BN mendapat majoriti dua pertiga maka BN akan membuat desakan agar PRU diawalkan," katanya.