Skip to main
Logo Malaysiakini

Bossku, calon PH turun stadium sokong JDT

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Kempen untuk pilihan raya Johor bermula semalam tetapi ramai calon tidak hadir ke litar ceramah biasa malam tadi.

Sebaliknya, mereka menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk pertembungan pasukan bola sepak negeri itu menentang Kuala Lumpur City FC dalam Piala Kerusi Malaysia yang mempertemukan juara Piala Malaysia itu dengan pemenang sebelumnya.

Ia perlawanan yang mempunyai pertaruhan tinggi apabila JDT mahu menebus kekalahan selepas disingkirkan oleh KL City FC sebagai juara pada 2019.

Malahan, pemilik utama JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah berikrar untuk meninggalkan dunia bola sepak jika pasukannya tewas sekali lagi.

Ahli politik, termasuk bukan 'bangsa Johor', berminat untuk menunjukkan sokongan mereka dengan JDT semasa musim pilihan raya ini.

Malah bekas perdana menteri dan pengerusi lembaga penasihat BN Najib Razak, seorang anak jati Pahang dan penduduk Kuala Lumpur, memakai selendang JDT.

Beberapa calon Pakatan Harapan turut hadir di Stadium Sultan Ibrahim, di Gelang Patah, Johor bagi menunjukkan sokongan.

Mereka termasuk Marina Ibrahim (Skudai), Liow Cai Tung (Johor Jaya), Liew Chin Tong (Perling), Maszlee Malik (Layang-layang), Suhaizan Kaiat (Pulai Sebatang), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani) dan Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah).

Tunku Ismail kemudiannya bertemu dengan beberapa calon Adun itu.

Putera mahkota itu juga bertemu dengan Najib dan menghadiahkan bekas perdana menteri itu dengan jersi berslogan "Bossku' yang tertera nombor kegemarannya angka "11".

Sementara itu, Perikatan Nasional dan BN turut memanfaatkan populariti perlawanan bola itu, sama ada mengunjungi pesta menonton seumpama itu atau menganjurkan sendiri.

Pesta tonton bola PN, BN

Calon PN Bukit Kepong, Sahruddin Jamal, yang menjadi menteri besar Johor selama 10 bulan sehingga 2020, melawat tiga pesta menonton perlawanan bola sepak dalam tempoh dua jam di kawasan Pagoh.

Sementara itu, calon PN untuk Johor Lama Alias Rasman berada di pesta menonton di Felda Ayer Tawar 2 manakala calon Kukup PN Mahathir Iskandar Mohamad berada di pesta menontot di bilik gerakan pilihan raya mereka.

Tidak ketinggalan, pesaingnya dari BN Pandak Ahmad menganjurkan pesta menonton di pusat operasi BN Iskandar Puteri dan memasang poster yang mengiklankan acara itu.

BN Johor juga menganjurkan pesta menonton khusus untuk anak muda, mengehadkan kehadiran kepada mereka yang berumur 18 hingga 35 tahun. Satu acara seumpama itu diadakan di sebuah dewan orang ramai di Tiram, di pinggir bandar Johor Bahru.

Berikutan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 dan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik, mereka yang berumur 18 hingga 39 kini membentuk blok pengundi terbesar.

Bagaimanapun, kecenderungan mereka bermotivasi untuk mengundi seperti pemilih yang lebih tua masih belum dapat dipastikan.

Di Johor Jaya, tiga pesta menonton seumpama itu turut dianjurkan BN termasuk tawaran hadiah.

Malah di kawasan separa luar bandar, BN menganjurkan pesta menonton di Chaah dalam DUN Bekok.

JDT mencapai kemenangan ke atas KL City, dengan jaringan 3-0.

Rakyat Johor pula akan keluar mengundi pada 12 Mac untuk memilih gabungan juara politik yang akan mentadbir Johor untuk lima tahun akan datang.