Lawatan rasmi PM buka lembaran baru perkukuh hubungan M'sia-Thailand
Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang pertama ke Thailand membuka lembaran baru kepada hubungan dua hala dan menjalin kerjasama strategik yang lebih kukuh antara Putrajaya dengan Bangkok.
Lawatan julung kalinya ke Thailand selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada Ogos tahun lepas itu dilihat bakal membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Sebagai dua negara jiran yang dekat, Ismail Sabri berkata kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand sentiasa memastikan hubungan kerjasama yang erat dan utuh ini dapat dikekalkan bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.
“Lawatan rasmi pertama saya ke Thailand ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam mengukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya dalam fasa pemulihan Covid-19.
“Perbincangan saya dan Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha turut menyentuh kerjasama Malaysia dan Thailand dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan buruh, selain terus ingin meneroka bidang kerjasama baru,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Bangkok pada Sabtu, hari akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Thailand.
Perdana menteri percaya perkara-perkara yang dibincangkan pada pertemuan dengan rakan sejawatannya itu akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, seterusnya menyumbang ke arah pemantapan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dengan Thailand.
Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.
Ismail Sabri tiba di Bangkok, Thailand pada Khamis lepas atas jemputan Prayuth.
Lawatan itu adalah sebahagian lawatan pengenalan ke negara Asia Tenggara sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021.
Perdana Menteri berkata Malaysia dan Thailand juga mahu nilai perdagangan antara kedua-dua negara meningkat kepada AS$30 bilion menjelang 2025.
Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di dalam ASEAN manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia.
Lawatan rasmi itu juga menyaksikan Malaysia dan Thailand bersetuju secara dasar untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara, darat dan laut, selain bersetuju mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing - mySejahtera dan Mor Phrom.
Malaysia dan Thailand turut bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam kajian serta penyelidikan vaksin COVID-19 dan juga vaksin-vaksin lain.
Selain itu, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan laluan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dengan Bangkok.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama yang melibatkan serantau dan antarabangsa.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai