Skip to main
Logo Malaysiakini

MP PKR: Kenapa PM 'takut' panggil pencerobohan?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Szin menyoal Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataannya dalam maklum balas terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Khamis.

Ahli parlimen PKR itu berkata kenyataan Ismail Sabri itu 'lemah dan tidak mempunyai keyakinan'.

“Saya kecewa membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri semalam.

"Kenyataan itu lemah, tidak mempunyai keyakinan dan gagal untuk mewakili apa yang diperjuangkan Malaysia: orde antarabangsa yang aman, berasaskan peraturan dan penyelesaian konflik secara aman.

"Kenyataan "Situasi di Ukraine" tidak langsung menyebut Rusia yang telah menyerang Ukraine. Mengapa perdana menteri begitu takut untuk memanggil penceroboh," soal Sim (gambar, bawah) pada satu hantaran di Facebook hari ini.

Dia berkata pencerobohan Rusia ke Ukraine telah melanggar semua peraturan antarabangsa dan ia mengejutkan untuk melihat kuasa besar tentera menyerang negara jiran dengan kekerasan.

"Nyawa orang awam yang tidak bersalah, wanita dan kanak-kanak terkorban dalam perang ini. Dan ini baru permulaan.

"Malaysia ialah mangsa konflik berpanjangan antara Rusia dan Ukraine kerana pesawat Malaysian Airlines MH17 dikatakan ditembak jatuh oleh pemisah pro-Rusia.

“Kenyataan lemah seperti ini mengecewakan ramai mangsa yang keluarganya masih mencari kebenaran dan keadilan melalui pelbagai mahkamah antarabangsa,” tambah Sim.

Sim berkata Malaysia mesti membuat pendirian tegas dan menyertai masyarakat dunia mengutuk pencerobohan Rusia.

"Minggu ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) akan menjemput Wisma Putra untuk memberi taklimat mengenai pendirian Malaysia di Ukraine.

"Sebagai ahli jawatankuasa itu, saya akan bertanya soalan yang sukar supaya Malaysia akan melakukan perkara yang betul dalam krisis ini," katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) melahirkan rasa kecewa terhadap Malaysiakini berhubung artikelnya yang menyiarkan kenyataan mengenai Ukraine.

Dalam laporan itu, Malaysiakini menyorot bahawa Ismail tidak menggunakan istilah “pencerobohan” untuk menggambarkan serangan Rusia ke atas Ukraine, sebaliknya merujuknya sebagai "konflik".

Ismail juga tidak menyebut Rusia dalam kenyataan itu, atau menamakan pihak yang mempunyai 'konflik' dengan Ukraine.

PMO dalam e-melnya amat kecewa dengan cara Malaysiakini menyiarkan artikel itu yang disifatkannya "melencong daripada kandungan siaran akhbar asal yang dikeluarkan" mengenai perkara tersebut.

"Daripada menonjolkan kebimbangan PM terhadap konflik di Ukraine dan rakyatnya, dan gesaannya yang mendesak agar semua pihak menyelesaikan krisis secara baik melalui rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa, anda telah sengaja salah memetik perkataan yang digunakan dalam siaran akhbar dan mengalihkan intipati kenyataan akhbar itu sepenuhnya

Malaysiakini dalam artikel itu, menekankan bahawa Ismail memilih untuk tidak menyifatkan serangan Rusia ke atas Ukraine sebagai pencerobohan, sebaliknya sebagai "peningkatan konflik".

Ismail dalam kenyataan itu juga tidak menamakan Rusia atau mengatakan secara langsung bahawa Rusia menyerang Ukraine.

Kenyataan penuh perdana menteri diterbitkan pada laporan berjudul PM: Malaysia amat prihatin 'peningkatan konflik' di Ukraine.

[Baca berita asal]