Protes di mahkamah: Pembela harap siasatan polis bukan gertakan
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Aminuddin Yahaya mempersoalkan siasatan ke atas kumpulan yang melakukan protes di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur minggu lalu kerana disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Protes itu dilakukan pada 21 Feb, ketika Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpus ibu tunggal Loh Siew Hong dalam isu hak jagaan tiga anaknya yang ditukarkan agama kepada Islam secara sepihak oleh bekas suaminya.
Katanya, sekiranya benar peserta protes melanggar SOP, pastilah anggota polis bertugas yang memantau perjalanan protes akan menegur dan menyuraikan perhimpunan.
"Ketika kita berada di mahkamah tempoh hari, polis telah ditugaskan dengan serba ramai. Saya kira, lebih kurang sama ramai dengan mereka yang hadir.
"Mereka jugalah yang membenarkan kita bersolidariti di perkarangan mahkamah itu. Dari awal sehingga akhir, pihak polis yang bertugas ada sama-sama memantau. Malah, para pegawai polis yang beragama Islam turut sama-sama mengaminkan doa.
"Jika ada pelanggaran SOP, menurut pengalaman saya, pasti ada yang mengarahkan kami untuk bersurai," katanya di Facebook.
Aminuddin hairan, mengapa siasatan itu baru hendak dilakukan.
"Saya harap ini bukan satu bentuk intimidasi (gertakan) di pihak atasan untuk melemahkan momentum perjuangan ini,” katanya.
Ketika dihubungi oleh Malaysiakini, Aminuddin mengesahkan dia telah dipanggil untuk merakamkan kenyataan dan membantu sisatan tetapi tarikh berkenaan belum ditetapkan.
"Polis dah panggi melalui panggilan telefon. Tapi masa dan tarikh itu belum ditetapkan lagi .
“(Balai mana pun) tak tahu lagi," katanya.
Pun begitu, dia mengaku tidak menyesal mengadakan perhimpunan tersebut kerana berasakan ia perlu diadakan bagi menerangkan fakta-fakta sebenar di hadapan media agar naratif fitnah dan palsu tidak semakin menjadi-jadi.
"Malah, saya yakin yang kita semua telah mematuhi SOP dengan begitu tertib kerana bukannya lama sangat pun kami ada di situ.
"Dan kita pun hadir tidak begitu ramai; mungkin polis dan wartawan lebih ramai pada hari tersebut," katanya lagi.
Polis dilaporkan sedang menyiasat beberapa NGO, parti politik dan individu yang terlibat dalam protes tersebut.
Adalah dipercayai polis melakukan siasatan mengikut peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam Kawasan Tempatan Dijangkiti) 2021 kerana kesalahan berkumpul dalam jumlah besar dan melanggar SOP.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai