Skip to main
Logo Malaysiakini

Turki: Serangan Rusia terhadap Ukraine adalah perang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Anggota Nato, Turki menukar retoriknya dengan menggelar serangan Rusia ke atas Ukraine sebagai "perang" pada hari Ahad dan berjanji untuk melaksanakan sebahagian daripada perjanjian antarabangsa yang berpotensi mengehadkan transit kapal perang Rusia dari Mediterranean ke Laut Hitam.

Kyiv telah merayu kepada Ankara untuk menyekat mana-mana kapal Rusia daripada masuk ke Laut Hitam, yang mana kemudian Moscow melancarkan pencerobohan di pantai selatan Ukraine.

Sekurang-kurangnya enam kapal perang Rusia dan sebuah kapal selam telah transit di selat Turki bulan ini.

"Ia bukan beberapa serangan udara sekarang, keadaan di Ukraine secara rasmi adalah perang... Kami akan melaksanakan Konvensyen Montreux," kata Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu, dalam temu bual dengan penyiar CNN Turki.

Mengimbangi komitmen Barat dan hubungan rapatnya dengan Moscow, Ankara sejak kebelakangan ini menggelar serangan Rusia sebagai tidak boleh diterima tetapi setakat Ahad lalu belum menggambarkan situasi di Ukraine sebagai perang.

Peralihan retorik membolehkan Turki melaksanakan artikel Konvensyen Montreux 1936 yang membenarkan negara itu mengehadkan transit tentera laut di selat Dardanelles dan Bosphorus semasa perang, atau jika terancam.

Namun, Cavusoglu mengulangi bahawa Turki tidak boleh menyekat semua kapal perang Rusia yang mengakses Laut Hitam kerana klausa dalam perjanjian mengecualikan kapal yang kembali ke pangkalan berdaftarnya.

"Tidak sepatutnya ada sebarang penyalahgunaan pengecualian ini. Kapal yang mengisytiharkan kembali ke pangkalannya dan melalui selat tidak seharusnya terlibat dalam perang," kata Cavusoglu.

Turki mempunyai hubungan baik dengan Rusia dan Ukraine. Walaupun anggota Nato telah menghukum Moscow dengan sekatan, sebarang langkah terlalu jauh oleh Ankara boleh menjejaskan import tenaga Rusia yang besar, sektor perdagangan dan pelancongan pada masa kegawatan ekonomi domestik.

Cavusoglu juga berkata dia bercakap dengan kedua-dua rakan sejawatan Ukraine dan Rusia dan gembira mendengar bahawa dua negara akan mengadakan rundingan.

Ibrahim Kalin, jurucakap Presiden Tayyip Erdogan, berkata pada Ahad: "Pada hari keempat perang Ukraine, kami mengulangi gesaan Presiden Erdogan supaya Rusia segera menghentikan serangan dan memulakan rundingan gencatan senjata."

(Laporan oleh Ezgi Erkoyun dan Tuvan Gumrukcu; Penulisan oleh Jonathan Spicer; Suntingan oleh Alison Williams)

- Reuters