Skip to main
Logo Malaysiakini

Rusia bedil lapangan terbang Antonov, Ukraine

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sebuah pesawat kargo terbesar di dunia, Antonov-225 buatan Ukraine, yang terletak di lapangan terbang Antonov di Gostomel, dekat Kyiv, musnah dibedil oleh tentera Rusia, lapor AFP yang memetik agensi milik Ukraine, Ukroboronprom.

Menurut laporan, bedilan itu berlaku pada Ahad.

Pesawat sepanjang 84 meter itu boleh mengangkut sehingga 250 tan kargo pada kelajuan sehingga 850 kilometer sejam. Ia dinamakan Mriya, yang bermaksud mimpi dalam bahasa Ukraine.

"Rusia memusnahkan kapal terbang utama Ukraine, AN-225 di lapangan terbang Antonov di Gostomel, dekat Kyiv," kata kumpulan itu dalam kenyataan.

Lapangan terbang Gostomel menyaksikan pertempuran sengit sejak permulaan pencerobohan Rusia, yang dilancarkan oleh Presiden Vladimir Putin, Khamis lalu.

Sementara itu, Reuters yang memetik Perkhidmatan Komunikasi Khas dan Perlindungan Maklumat Ukraine pula melaporkan letupan kedengaran di ibu kota Ukraine, Kyiv dan di bandar utama Kharkiv pada pagi Isnin.

Kyiv sepi seketika selama beberapa jam sebelum itu, katanya dalam satu kenyataan ringkas pada aplikasi Telegram.

Dalam satu kenyataan berasingan, agensi itu berkata sebuah bangunan kediaman di bandar Chernihiv di utara Ukraine terbakar selepas terkena peluru berpandu.

Satu lagi bandar di utara Ukraine, Zhytomyr, menjadi sasaran peluru berpandu semalaman, kata Tentera Darat Ukraine di Facebook.