Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN Johor: Cabaran kempen bagi calon positif Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Calon dalam pilihan raya kali ini boleh dikatakan berdepan “pertarungan” paling penting, dengan mengambil kira PRN Johor bakal menjadi faktor kepada jajaran politik negara menuju PRU15.

Namun ancaman terbesar mereka bukan lawan politik tetapi wabak Covid-19, yang boleh menyebabkan mereka terlepas hampir separuh tempoh berkempen.

Salam seorang calon yang telah menerima ancaman tersebut adalah Naim Jusri, yang bertanding di Gambir di bawah PKR.

Kempen di situ penting secara simbolik memandangkan kerusi itu sebelum ini dipegang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Walaupun Muhyiddin tidak bertanding, dia mengetuai kempen PN dalam usaha menjadikan gabungan itu pemain utama politik Malaysia, bukan sekadar fenomena politik sementara yang dianggap sesetengah pihak tidak akan bertahan selepas PRU akan datang.

Justeru, Naim berdepan tanggungjawab berat namun dia tidak dapat menyertai kempen sejak ia bermula dua hari lalu.

Naim disahkan positif di pusat penamaan calon. Dia masih dibenarkan menghantar borang pencalonan dan menjadi calon menerusi pencadangnya.

Tak putus asa

Ketika dihubungi Malaysiakini, Naim mengakui masalah yang dihadapi tetapi tidak berputus asa.

“Ini bukan keadaan yang baik tetapi kerja saya masih berjalan,” katanya.

Buat masa ini, Naim berkempen secara digital walau diragui keberkesanannya berbanding kempen bersemuka.

Bagi menampung kekurangan itu, Naim juga mengunakan kaedah menghubungi pengundi menerusi telefon.

“Selepas tujuh hari, saya boleh kembali ke lapangan untuk berkempen,” katanya merujuk empoh kuarantin pesakit Covid-19 yang telah menerima dos penggalak.

Di saat ketiadaan Naim, pasukan kempennya telah turun ke sekitar Gambir untuk berkempen bagi pihaknya.

Kempen yang mencabar

Pengurus kempen Muhd Hassan cuba kekal optimis dengan situasi itu, dengan menyatakan Naim dapat merangka strategi lebih baik dan memantau operasi kempen dari rumah.

Namun, katanya lagi, jelas ketiadaan calon memberikan cabaran ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Menurut SOP oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kempen dari rumah ke rumah hanya terhad kepada lima orang, begitu juga dengan walkabout.

“Kita perlu pecahkan kepada sebanyak kumpulan yang boleh dan dapatkan khidmat sukarelawan,” katanya.

Katanya lagi, mereka juga tidak dibenarkan bercakap dengan pengundi ketika mengedarkan risalah.

Media sosial

“Jadi kami hanya boleh tinggalkan risalah di peti surat pengundi,” kata Hassan.

Dia berkata lagi, mereka antara lain memuat naik video memaparkan Naim menelefon pengundi di rumah di media sosial.

Di Instagram, Naim memiliki lebih 1,000 pengikut di Instagram dan 2,000 di Facebook.

Namun, cabaran kempen di media sosial ialah ia tidak khusus kepada lokasi dan ramai pengikut mungkin bukan pengundi di kawasannya.

Bagi menampung kekurangan itu, pemimpin parti lain juga membantu kempen Naim.

Antaranya Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dan bekas Adun machap Jaya Ginie Lim.

Naim berdepan Shah Rihan Ghani (BN), Mohd Solihan Badri (PN) dan Suraya Sulaiman (Pejuang) di kerusi majoriti Melayu itu.

Ada parti, antaranya Pejuang, mengambil pendekatan yang lebih ekstrem.

Parti itu menukar calonnya di Endau selepas Zaini Tahar disahkan positif sehari sebelum penamaan calon. Kini parti itu diwakili Mohd Noorhisyam.

Tiada pertukaran saat akhir

Namun dalam kes Naim, mungkin terlalu sukar untuk mencari pengganti dalam tempoh sejam proses penamaan calon.

Selain itu, seorang lagi calon PKR tidak dapat menyertai kempen di lapangan.

Semalam, calon PKR Bukit Batu Chiong Sen Sern mengesahkan dia dijangkiti Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin selama tujuh daripada 14 hari tempoh berkempen.

Namun dia menegaskan tidak mengabaikan kempen di kawasan itu.

“Pasukan saya akan meneruskan semua kegiatan yang dirancang untuk pengundi Bukit Batu.

“Saya akan teruskan kempen digital termasuk di Whatsapp, Facebook dan media sosial lain,” kata Chiong.

Kempen PRN Johor bermula 26 Februari lalu. Pengundi di Johor akan membuat pilihan mereka 12 Mac ini.