Skip to main
Logo Malaysiakini

Penampilan Najib - OJ Simpson pun boleh tarik orang ramai, kata Lim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR l Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mempersoalkan sama ada penampilan bekas perdana menteri Najib Razak di medan selera di Perling, Johor benar-benar menunjukkan peningkatan sokongan terhadap ahli parlimen Pekan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim mengambil maklum tentang rakaman video yang memaparkan Najib disambut mesra oleh masyarakat Cina, dengan ada yang mempelawanya bergambar sama dan laungan "bossku" seolah-olah dia diterima oleh masyarakat Cina yang menolak BN pada pilihan raya umum lalu.

“Pada pendapat saya, reaksi masyarakat Cina pada hari tersebut tidaklah memeranjatkan sama sekali. Ia hanya reaksi biasa manusia.

“25 tahun selepas (pemain bola sepak / pelakon Amerika) OJ Simpson didapati bersalah oleh juri mahkamah sivil AS atas pembunuhan bekas isterinya dan teman lelakinya, dia kekal sebagai ‘selebriti’ bagi ramai orang.

"Orang ramai berpusu-pusu mahu bergambar dan mendapatkan autograf, manakala wartawan pula masih berminat melaporkan kehidupan seharian Simpson, meskipun dia telah didapati bertanggungjawab atas kedua-dua kematian itu," kata Lim.

Simpson tidak disabitkan atas tuduhan jenayah tetapi didapati bertanggungjawab dalam saman sivil berhubung pembunuhan itu. Dia kemudiannya menjalani hukuman penjara sembilan tahun bermula 2008 hingga 2017 atas tuduhan tidak berkaitan.

Lim berkata sama ada sambutan hangat ke atas Najib itu akan diterjemahkan kepada undi atau tidak pada pilihan raya Johor pada 12 Mac masih belum dapat dilihat.

“Apabila orang ramai di medan selera itu berpusu-pusu mendekati Najib untuk mengambil gambar, mereka tidak semestinya menyatakan sokongan politik.

“Apa yang rakyat lihat ialah ahli politik yang dahulunya tidak boleh didekati itu, kini tiba-tiba begitu mudah untuk dihampiri,” katanya.

Najib hadir di sana bagi menyokong calon MCA/BN Perling, Nicole Tan Hiang Kee, yang bertanding menentang Khoo Siaw Lee dari Perikatan Nasional dan Liew Chin Tong yang mewakili Pakatan Harapan.

Penyandang di Perling iaitu Cheo Yee How dari DAP, telah digugurkan. Pada pilihan raya umum 2018, dia menang mudah dengan majoriti 19,533 undi.

Najib sedang merayu hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung kesalahan menyelewengkan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.