Skip to main
Logo Malaysiakini

Bendera BN, PH berkibar di Yong Peng, panji PN hampir tiada

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Ketika kempen pilihan raya Johor memasuki hari keempat, pemandangan di Yong Peng iaitu sebuah pekan di bahagian tengah negeri itu, kini dipenuhi dengan kibaran bendera BN dan Pakatan Harapan.

Poster calon, Ling Tian Soon dari BN dan Alan Tee Boon Tsong dari PH juga terpampang di seluruh kawasan pilihan raya. Bagaimanapun, amat ketara apabila gambar calon Perikatan Nasional Susan Yong Fui Ling tidak kelihatan.

Malah bendera PN juga hampir tidak nampak di kawasan itu.

Satu-satunya tempat yang menampakkan kewujudan PN yang ketara ialah bendera gabungannya yang berbaris di jalan di luar pusat operasinya, iaitu kira-kira dua kilometer dari jalan utama di bandar Yong Peng.

Yong mengakui kempennya berdepan isu berkaitan penyampaian bahan kempen dari ibu pejabat Gerakan di Johor Bahru.

"Ini dikendalikan oleh ibu pejabat di Johor Bahru. Mungkin terdapat beberapa kelewatan," kata Yong kepada Malaysiakini.

Dia menjelaskan bahan-bahan kempennya akan dinaikkan tidak lama lagi.

"Kami memang ketinggalan kerana sudah masuk hari keempat kempen. Mungkin kerana Gerakan bertanding lapan kerusi dan yang utama kepada mereka adalah di Johor Bahru manakala Yong Peng di kawasan tengah," tambahnya.

Tinjauan kawasan pilihan raya yang dipertandingkan Gerakan di sekitar pinggir bandar Johor Bahru nampaknya tidak menghadapi masalah sedemikian.

Yong, 53, ialah calon wanita tunggal Gerakan yang bertanding di bawah PN. Dia juga merupakan ketua Wanita Gerakan Johor dan naib pengerusi Wanita Gerakan kebangsaan.

Sehingga kini, kempen di Yong Peng banyak tertumpu kepada BN dan Harapan.

MCA, yang bertanding dalam gabungan BN telah memberikan isyarat yang jelas bahawa Yong Peng menjadi medan tempur dan kawasan pilihan raya utama untuk ditebus berikutan kekalahan semasa pilihan raya lalu.

Ling ialah setiausaha penganjur kebangsaan MCA dan individu yang mendapat kepercayaan Presiden MCA Wee Ka Siong. Dia menentang Tee, yang merupakan setiausaha politik kepada pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Pada pilihan raya umum lalu, DAP memenangi Yong Peng dengan majoriti 5,089 undi.

Bagaimanapun, penyandang DAP Chew Peck Choo telah bersara dan Tee dipindahkan dari kerusi Senai yang agak selamat untuk menggantikan Chew.