Skip to main
Logo Malaysiakini

Shafee ke UK jumpa peguam diraja, kes rayuan Najib tangguh

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbicaraan kes pengubahan wang haram RM9.5 juta terhadap Muhammad Shafee Abdullah pagi ini telah dikosongkan kerana dia berada di luar negara untuk bertemu dengan peguam diraja UK (Queen's Counsel).

Peguam itu sedang mendapatkan peguam kanan di United Kingdim untuk mewakili bekas perdana menteri Najib Razak dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta. Shafee ialah peguam bela Najib.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan perkara itu.

"Ya, Shafee telah pergi ke luar negara," kata pendakwaraya menjelaskan peguam itu (yang bertindak untuk Najib dalam rayuan SRC) ingin bertemu dengan QC yang berkemungkinan mewakili anak guamnya.

Afzainizam berkata perbicaraan pengubahan wang haram terhadap Shafee dijangka disambung semula pada 28 Mac dan 29 Mac serta 27 April.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi yang mendengar kes pengubahan wang haram Shafee telah membenarkan permohonannya untuk mendapatkan sementara pasportnya supaya dia boleh terbang ke New York untuk membantu urusan pengajian tinggi anaknya di sana.

Pada 2019, Shafee memetik alasan kecederaannya kerana 'diserang' oleh anjing pengawal yang suka bermain untuk menangguhkan perbicaraan SRC Najib di hadapan Mahkamah Tinggi yang berasingan di Kuala Lumpur.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Dia didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terbabit dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, dengan mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Shafee didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

[Baca berita asal]