Skip to main
Logo Malaysiakini

OKU demo dekat parlimen bantah sistem bayaran baru JKM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekumpulan 60 orang kurang upaya (OKU) daripada pelbagai organisasi berkumpul di hadapan simpang ke bangunan parlimen bagi menuntut pelaksanaan program bantuan tanpa tunai JKMPay oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk dimansuhkan. 

Kumpulan yang mewakili pelbagai organisasi itu berkumpul bagi menyerahkan memorandum tuntutan pemansuhan JKMPay kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 

Kumpulan itu mula berkumpul pada kira-kira jam 9.30 pagi, dan kelihatan sekumpulan polis turut berkawal di sekitar. 

Perhimpunan yang sepatutnya melibatkan perarakan ke pintu gerbang parlimen itu, bagimanapun hanya diadakan di tepi Jalan Parlimen kerana mereka tidak dibenarkan berkumpul di tempat yang dirancangkan pada awalnya. 

Mereka yang terdiri daripada  pelbagai latar belakang - termasuk yang berkerusi roda, cacat penglihatan dan sebagainya - memegang plakad yang rata-ratanya menuntut pemansuhan JKMPay. 

Berdasarkan memorandum tersebut, warga OKU terlibat menzahirkan rasa "sangat kecewa" apabila pelaksanaan JKMPay diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun tahun lalu, tanpa berunding dengan NGO OKU sebagai pemegang taruh yang penting. 

Sedangkan, Rina seharusnya bersikap matang dan tidak menganaktirikan warga OKU, kerana OKU, kata mereka, "bukanlah objek kebajikan, tetapi mempunyai hak dan maruah yang sama seperti masyarakat umum".

Isu itu, menurut mereka, menyebabkan warga OKU kehilangan suara dan hak, malah bantuan sedia ada yang tidak mencukupi pun, dakwa mereka, hendak dirampas daripada mereka. 

"Oleh yang demikian, kami warga OKU membantah sekeras-kerasnya keputusan projek rintis oleh kementerian di bawah Rina, serta menuntut dengan segera supaya serta-merta memansuhkan dasar baru JKM yang keterlaluan," kata memorandum tersebut.

Menerusi JKMPay, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah bantuan ke kad ATM, manakala 50 peratus lagi dimasukkan ke kad tanpa tunai JKMPay, yang hanya boleh digunakan di kedai-kedai tertentu sahaja yang berdaftar dengan Bank Islam, bagi membeli barang keperluan asas dan ubat-ubatan yang telah disenaraikan sahaja. 

Memorandum itu diserahkan kepada wakil daripada Jabatan Perdana Menteri yang turun bertemu peserta protes pada jam 11.10 pagi. 

Turut turun menyantuni mereka ahli-ahli parlimen seperti Wan Azizah Wan Ismail (Pandan), Hannah Yeoh (Segambut), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Ngeh Koo Ham (Beruas), R Sivarasa (Sungai Buloh). 

Daripada 55 NGO dan kumpulan terlibat ialah Independent Living and Training Centre Malaysia, Malaysia Spinal Injury Association (Masia), Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (Pokuam), The Malaysian Animal-Assisted Therapy for the Disabled and Elderly Association (Petpositive) dan Persatuan Kebajikan Sahabat Prihatin Kuala Muda..