Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin Umno sanjung Ismail Sabri berucap dalam BM di luar negara

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekumpulan pemimpin Umno menyanjung tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap dalam bahasa Melayu semasa lawatan rasminya ke Brunei, Kemboja dan Thailand.

Tindakan Ismail itu, kata mereka, menjadi contoh terbaik kepada semua kepemimpinan pelbagai peringkat untuk mengutamakan bahasa Melayu, sekaligus memartabatkannya ke persada yang lebih luas terutamanya di rantau Asean.

Ini, kata mereka selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

"Jadi pemimpin lain tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu ini untuk menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.

"Kami yakin, kita tidak akan terkebelakang sekiranya kita menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa, malahan akan lebih berbangga sebagaimana dengan negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar," kata mereka pada satu kenyataan hari ini.

Ismail hanya menggunakan bahasa Melayu ketika acara lawatan rasmi di negara-negara berkenaan.

Ketika di Bangkok, dia mengumumkan yang Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ismail juga dilaporkan berkata tiada apa yang perlu dimalukan dengan pengumuman berkenaan, bahkan sepatutnya berbangga kerana Malaysia perlu menjuarai bahasa Melayu sebagai bahasa Asean.

Mengulas lanjut, para pemimpin Umno terlibat menegaskan Malaysia harus memainkan peranan menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca kepada masyarakat Asean di Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Thailand.

Mereka turut menggesa teladan ditunjukkan Ismail itu disambut baik oleh semua pihak dalam negara, baik kerajaan mahupun swasta, dengan turut menggunakan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi dalam negara.

“Melihat perkembangan yang diteladani perdana menteri, pentas antarabangsa adalah platform terbaik untuk kita memaparkan bahasa yang kita gunakan dalam negara kita, kini sudah tiba masanya untuk kita menggunakan bahasa kita di pentas antarabangsa.

“Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kita di mata dunia,” kata mereka.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh; Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar, Ketua Umno Bahagian Alor Setar Mohd Yusof Ismail, Ketua Umno Bahagian Permatang PauhMohd Zaidi Mohd Said, Ketua Umno Bahagian Beruas Mohd Ridhwan Mohd Ali, Ketua Umno Bahagian Bukit Katil Mohd Ridhwan Mohd Ali, Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa Zaluzi Sulaiman, Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah Ismail Lassim, Ketua Umno Bahagian Kuala Langat Zurihan Yusop, Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam Zakaria Dullah, Ketua Umno Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed dan Ahli Majlis Tertinggi Umno Fathul Bari Mat Jahya.