Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rumah AS$10 juta Rohana dibeku, individu lain akan dipanggil'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata akan memanggil lebih ramai individu bagi membantu siasatan dakwaan rasuah melibatkan bekas CEO Kumpulan r Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan.

Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak menyatakan jika pihaknya akan mengambil keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner.

“Kita akan panggil individu lain tapi buat masa ini saya tak boleh kongsi (lebih lanjut),” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Azam berkata, kerjasama antara Pejabat Peguam Negara (AGC) dan pihak di Amerika Syarikat diperlukan bagi perkara itu.

“Tim Leissner masih beri keterangan di AS, saya rasa kurang enak kalau saya ulas tentang keterangannya. Jadi kita akan dapatkan keterangan lanjut dari pihak AS,” katanya lagi.

SPRM kini sedang menyiasat Rohana susulan dakwaan Leissner bahawa dia menggunakan wang yang diterima daripada 1MDB untuk membeli rumah berharga AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuknya.

Kata Azam lagi, Rohana disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).

Dia juga mengesahkan rumah milik Rohana di London itu serta sejumlah aset lain telah dibekukan.

Terdahulu, Leissner dalam keterangannya minggu lalu berkata dia pernah menjalinkan hubungan dengan Rohana dan wanita itu mengancam untuk mendedahkan peranannya dalam skandal 1MDB jika dia tidak membelikannya rumah itu.

“Jika saya tak beli rumah untuknya, dia akan beritahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk dedahkan saya. Pada masa itu, tahu n2013, saya sangat takut dengan perkara itu,” katanya.

Leissner berkata dia menjalinkan hubungan dengan Rohana selama sedekad, sejak 2003.

Susulan itu, Rohana telah dipanggil SPRM sebanyak dua kali untuk memberi keterangan.