Skip to main
Logo Malaysiakini

Keterangan Leissner mengenai BNM 'dirunding' di sesi kamar khas parlimen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun telah meluluskan usul tergempar daripada ketua pembangkang Anwar Ibrahim (Pakatan Harapan-Port Dickson) untuk membincangkan pendedahan bekas pengurus bank Goldman Sachs Tim Leissner mengenai amalan rasuah yang didakwa dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung 1MDB.

Di Dewan Rakyat hari ini, Azhar telah bersetuju bahawa perkara yang dikemukakan oleh Anwar adalah khusus dan mempunyai kepentingan awam yang mendesak.

“Saya telilti usul itu. Untuk perkara tertentu itu ada dua bahagian...pertama, keterangan bekas (Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara) Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai rasuah, salah guna kuasa, penyelewangan institusi Malaysia, adalah agak terlalu am dan tidak spesifik.

“Usul ini seterusnya menyatakan khasnya BNM berentetan daripada skandal 1MDB dan pembongkaran BNM...saya dapati ia perkara yang tertentu.

“Saya juga setuju ia perlu disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai. Saya benarkan usul dirunding dalam Kamar Khas pukul 2.30 petang ini,” katanya.

Anwar telah mengemukakan usul itu semalam di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) dan menggesa perbahasan berhubung dakwaan Leissner mengenai rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi, khususnya kaitan BNM dengan 1MDB.

Leissner telah memberi keterangan sebagai saksi utama dalam perbicaraan rasuah bekas rakan sekerjanya Roger Ng di New York, yang mana dia menyebut dakwaan rasuah yang melibatkan bekas suami gabenor Bank Negara.

Bagaimanapun, dia tidak boleh mengesahkan secara bebas sama ada sogokan telah dibayar atau tidak.

Sejak itu, Tawfiq Ayman suami kepada bekas gabernor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz menolak dakwaan daripada Leissner, berkata dia tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya.

Walaupun Azhar telah bersetuju supaya perkara itu 'dirunding' di dalam kamar khas lewat petang ini, Anwar bertegas ia perlu dibahaskan di Dewan Rakyat kerana isu itu mempunyai implikasi nasional dan boleh menjejaskan "maruah" negara.

Bagaimanapun, Azhar tidak bersetuju dengan cadangan itu, berkata kedudukan kamar khas adalah sama dengan sidang Dewan Rakyat kerana ia terbuka kepada semua.

Katanya, merundingkan isu itu di dalam kamar khas tidak akan mengganggu agenda mesyuarat hari ini, iaitu membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja.

Maaf Yang Berhormat, masa terbatas, kata Azhar.

Secara berasingan, R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) dan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) turut membawa isu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang telah dituduh mempunyai konflik kepentingan susulan dakwaan pegangan sahamnya.

Mereka menggesa speaker untuk memanggil Azam ke parlimen untuk menjawab kepada penggubal undang-undang mengenai dakwaan itu.

Khoo turut mempersoalkan bagaimana Azam boleh enggan hadir apabila dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dwipartisan mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bulan lepas.

Jelas Azhar, dia tidak mempunyai kuasa untuk memanggil Azam menghadap PSC kerana hanya jawatankuasa itu yang mempunyai kuasa itu.

[Baca berita penuh]