Skip to main
Logo Malaysiakini

Muda tak jadi guna pelekat, bimbang pengundi tak faham sindiran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PRN JOHOR | Muda menarik balik penggunaan pelekat yang mengkritik korupsi daripada kempennya kerana bimbang ada pengundi yang tidak dapat “menangkap” sindiran yang diutarakan.

Pelekat itu memaparkan: “Budaya barat bukan budaya kita, budaya kita budaya korupsi,” yang merupakan sindiran sarkastik terhadap ahli politik yang sentiasa mengecam “budaya barat” tetapi membisu dalam isu korupsi.

Calon Muda DUN Bukit Kepong Afiqah Zulkifli berkata, pelekat itu sebelum ini digunakan ketika himpunan “Tangkap Azam Baki” di Kuala Lumpur bulan lalu, berhubung dakwaan pemilikan saham ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Namun Afiqah berkata ada kemungkinan sebahagian pengundi di kawasan DUN itu menafsirkan kata-kata pada pelekat itu secara terus dan merasakan Muda menyokong korupsi.

“Bukan semua akan faham maksud tersirat jadi saya tak fikir pelekat ini patut diedarkan.

“Ramai orang akan fikir secara literal dan terus,” katanya kepada pemberita ketika ditanya tentang pelekat itu yang sudah pun diedarkan di sesetengah kawasan.

Katanya lagi, dia telah mengarahkan pelekat itu tidak lagi digunakan sebagai bahan kempen.

DUN Bukit Kepong adalah kawasan majoriti Melayu yang termasuk dalam lingkungan pengaruh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Ia terletak dalam kawasan Parlimen Pagoh - kerusi yang dipegang Muhyiddin.

Afiqah berdepan cabaran sukar, disaingi calon PN Shahruddin Jamal yang merupakan bekas menteri besar dan calon BN Ismail Mohamad, yang merupakan veteran Umno. Pejuang pula mencalonkan Md Taib Md Suhut.

Bukit Kepong merangkumi 69 peratus pengundi Melayu, 27 peratus pengundi Cina dan satu peratus pengundi India.

Dalam PRU lalu, Shahruddin menang dengan majoriti 1,273 undi.

Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet yang bertanding di Tenang memberitahu Malaysiakini yang pelekat itu adalah sindiran terhadap korupsi tetapi mengakui ia mungkin menghantar isyarat salah kepada sesetengah orang.

"Ia dirangka secara sarkastik, tetapi boleh disalah tafsir. Silap kami kerana merangkanya dengan cara itu, tapi kami boleh melakukannya dengan lebih baik.

"Saya mohon maaf jika ia sampaikan pesanan yang salah. Muda tentunya tidak menyokong korupsi," katanya lagi.

Sementara itu, calon Muda DUN Larkin Rasid Abu Bakar menawarkan pelekat tersebut secara percuma, kerana menyifatkan pengundi cukup bijak untuk memahami maksudnya.

Dia juga mengundang sesiapa yang berminat untuk mendapatkannya agar berkunjung ke pusat operasi Muda di DUN itu.

avsdv